Anwar tak tahu, tak diundang ke pertemuan ‘tertutup’ Azmin, ahli Parlimen PKR

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

SEPANG: Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan tidak tahu tentang pertemuan “tertutup” timbalannya, Azmin Ali bersama ahli-ahli Parlimen partinya di pejabatnya di Parlimen hari ini.

“Saya tidak tahu ini, saya tidak dijemput,” katanya ringkas sewaktu ditemui di Multaqa Khas Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA hari ini.

Azmin dilapor mengadakan suatu pertemuan tertutup bersama ahli-ahli Parlimen PKR di Parlimen pada 3 petang tadi.

Sementara itu, ditemui pemberita di Parlimen, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata pertemuan dengan Azmin petang tadi hanya membincangkan hal ekonomi.

“Bukan berkaitan dengan PKR,” katanya.

Maria maklum perhatian media kepada pertemuan hari ini, sehari selepas pertemuan “sulit” di kediaman Azmin di Putrajaya semalam, yang menurut sumber dihadiri sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional.

“Kita tidak boleh bercakap dengan menteri ekonomi kita tanpa kecoh?” katanya.