Azmin perlu jelaskan tujuan jumpa ahli Parlimen BN, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata, masih ada sesetengah pemimpin PH yang tidak mengambil iktibar daripada kekalahan besar gabungan parti pemerintah itu dalam PRK Tanjung Piai pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, timbalannya Mohamed Azmin Ali perlu menghadiri mesyuarat Biro Politik esok untuk menjelaskan apa yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan ahli Parlimen Barisan Nasional malam tadi.

Katanya, beliau tidak tahu dan turut mempersoalkan tujuan perjumpaan itu diadakan yang “menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakan-rakan PKR”.

“Saya tidak tahu sebab itu saya minta lebih baik beri penjelasan kalau atas kapasiti parti atau kerajaan. Kalau kerajaan, mengapa ahli Parlimen lain tidak diundang?” soalnya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, sumber memberitahu FMT kira-kira 30 ahli Parlimen BN menemui Azmin di kediaman rasminya di Putrajaya yang dikatakan dalam usaha menghalang tindakan memaksa Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri.

Pertemuan itu dikatakan “hanya perjumpaan makan malam” yang turut dihadiri bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein.

Ia diadakan selepas kekalahan memalukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai Sabtu lalu, yang mana calon BN, Wee Jeck Seng daripada MCA menang dengan majoriti besar 15,086 undi.

Hari ini, Anwar berkata, masih ada sesetengah pemimpin PH yang tidak mengambil iktibar daripada kekalahan besar PH di Tanjung Piai.

“Beberapa kawan kita ini tidak belajar daripada pengalaman kekalahan parah di Tanjung Piai,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Biro Politik akan mengadakan mesyuarat pada esok malam untuk mengetahui apa yang berlaku dalam pertemuan Azmin dengan sekumpulan ahli Parlimen BN malam tadi.