Azmin: Pertemuan ‘sulit’ mesyuarat biasa, tak ingat siapa minta jumpa

Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Mohamed Azmin Ali mengecilkan kepentingan pertemuan dengan sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional semalam, yang berlaku disebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur, selepas kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Timbalan presiden PKR itu berkata tidak ada perkara luar biasa pada “mesyuarat biasa” di kediaman rasminya semalam, yang menurut sumber dihadiri lebih 20 ahli Parlimen BN, termasuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, dan beberapa ahli Parlimen PKR.

“Saya ambil sikap terbuka, mana-mana pihak yang ingin bertemu dengan saya, saya akan bertemu,” katanya, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberitahu siapa yang minta pertemuan itu diadakan.

“Saya pun tak ingat siapa yang minta. Siapa minta, saya bertemu,” katanya.

Azmin berkata pertemuan seperti itu penting untuk mendapatkan “maklum balas daripada rakyat, daripada masyarakat perniagaan tentang penerimaan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan”.

Ketika ditanya adakah akan menghadiri mesyuarat biro politik parti esok bagi menjelaskan perbincangan semalam, seperti yang diminta presidennya, Anwar Ibrahim, Azmin menjawab: “Kalau ada keperluan saya akan terangkan.”

“Saya semak jadual saya, biasanya kalau saya tiada tugas rasmi, saya hadir mesyuarat parti,” katanya.