China bidas mahkamah Hong Kong tarik balik larangan topeng muka

Beijing berkata ia mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan perkara membabitkan perlembagaan Hong Kong. (Gambar AP)

BEIJING: China hari ini menegaskan ia mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan perkara membabitkan perlembagaan di Hong Kong, ketika mengecam keputusan mahkamah tinggi kotaraya itu menterbalikkan larangan pemakaian topeng muka oleh penunjuk perasaan.

Kenyataan itu boleh menyemarakkan lagi kemarahan di Hong Kong yang dilanda tunjuk perasaan selama beberapa bulan kerana bimbang Beijing mengikis autonomi hab kewangan itu.

Larangan penggunaan topeng muka berkuat kuasa pada Oktober, apabila pemimpin pro-Beijing kota itu yang tidak dipilih menggunakan undang-undang zaman penjajahan buat pertama kali dalam lebih 50 tahun.

Langkah itu dilihat sebagai titik perubahan dalam sejarah undang-undang Hong Kong sejak Britain memulangkan kota itu kepada China pada 1997 tetapi simbolik.

Mahkamah tinggi Hong Kong semalam memutuskan larangan kerajaan ke atas topeng muka itu tidak berperlembagaan. Tetapi Beijing berkata badan kehakiman wilayah pentadbiran khas itu melampaui batas.

Jian Tiewei, jurucakap suruhanjaya hal ehwal perundangan jawatankuasa tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) berkata hanya NPC mempunyai hak untuk memutuskan sama ada sesuatu undang-undang itu mengikut Undang-undang Asas, merujuk kepada perlembagaan kecil kota itu.

“Tidak ada institusi lain yang berhak membuat keputusan,” kata Jian berdasarkan kenyataan media di laman web NPC.

Jian berkata keputusan itu “sangat melemahkan tadbir urus” ketua eksekutif Hong Kong Carrie Lam dan kerajaan kota tersebut.