Dr M nafi kelapa sawit punca hutan musnah

Dr Mahathir Mohamad berucap pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan penanaman kelapa sawit ialah punca utama kemusnahan hutan kerana tanaman itu kebanyakannya ditanam di tanah pertanian khusus.

Perdana menteri turut mengulangi komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio, Brazil pada 1992.

Katanya, ketika itu, beliau berikrar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% tanah besar di Malaysia dilitupi hutan.

“Hari ini pada 2019, selepas hampir tiga dekad, saya bangga mengatakan kami tidak memungkiri janji itu,” katanya ketika berucap dalam Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya 0.4% daripada kawasan pertanian global keseluruhan digunakan untuk penanaman kelapa sawit.

Katanya, pembukaan ladang baru di Malaysia tidak berubah beberapa tahun ini dan ia dijangka kekal dengan unjuran itu.

Mahathir berkata, penanaman kelapa sawit di Malaysia menggunakan amalan kelestarian walaupun kriteria negara pengimport bertambah.

Beliau turut mengulangi komitmen Putrajaya untuk meningkatkan penggunaan biodiesel campuran daripada 10% kepada 20% menjelang tahun depan untuk memastikan persekitaran lebih bersih.

“Di sebalik semua usaha terbesar yang diambil industri minyak sawit, di peringkat antarabangsa, industri itu terus dikaitkan kepada kemusnahan hutan dan biodiversiti.

“Kempen publisiti negatif terhadap minyak sawit sebahagian besarnya akibat alasan berkaitan agenda politik dan ekonomi untuk menyerang industri minyak sawit oleh orang yang berkempen untuk anti-minyak sawit dan NGO Barat.”

Katanya, Parlimen Eropah turut diperdaya untuk menghentikan penggunaan minyak sawit dalam bahan api pengangkutan boleh diperbaharui menjelang 2030.

Beliau berkata, minyak sawit lebih cekap berbanding minyak lain disebabkan hasilnya yang banyak – antara empat dan lapan kali ganda berbanding tanaman lain.

Oleh itu, katanya, larangan ke atas minyak sawit tidak akan menghentikan kemusnahan hutan, sebaliknya akan menyebabkan lebih banyak tanah dibuka untuk tanaman bijian minyak untuk menampung permintaan bertambah.

Mahathir berkata, industri minyak sawit dikawal lebih 60 peraturan dan undang-undang negara, termasuk syarat pelesenan ketat oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sepanjang rantaian bekalan.

Katanya, ia termasuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang giat dipromosikan kerajaan.

“MSPO sangat penting kepada industri minyak sawit kita, termasuk pekebun kecil kita, untuk mengamalkan pertanian baik dan memastikan ia industri mampan.”

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan sudah diarahkan bekerjasama dengan pekebun kecil untuk meningkatkan penggunaan pensijilan MSPO sebagai sebahagian rantaian bekalan lestari syarikat itu.