Dr M tak pasti Malaysia sedia hadapi peralihan kuasa

Dr Mahathir Mohamad merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Sepang hari ini.

SEPANG: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak pasti jika Malaysia bersedia untuk proses peralihan kuasa susulan cadangan untuk beliau berundur selepas kekalahan memalukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu.

“Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini, sama ada bersedia untuk beralih pentadbiran ataupun tidak.

“Apabila sampai masanya, kita tentukan,” katanya selepas merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 hari ini.

Beliau berkata demikian selepas bekas pengasas bersama PKR, Syed Husin Ali menyifatkan keputusan PRK Tanjung Piai ialah pungutan suara terhadap kepimpinan Mahathir.

Bekas timbalan presiden PKR itu dilaporkan berkata, mesej yang disampaikan menerusi keputusan PRK Tanjung Piai cukup jelas dan Mahathir seharusnya tahu apa patut dilakukan.

Calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,086 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini yang hanya meraih 10,380 undi.

Mengenai kritikan beberapa pemimpin PH dan menyalahkan beliau sebagai punca kekalahan di Tanjung Piai, Mahathir berkata: “Mungkin saya salah.”

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula dilapor menyarankan Mahathir tampil dengan strategi baru.

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan PH ialah kurang pembaharuan Parlimen secara sistematik.

Katanya, tiada pengurangan kuasa berlebihan perdana menteri dan Putrajaya belum melaksanakan pengasingan kuasa sewajarnya.

Beliau menyifatkan kekalahan PH di Tanjung Piai sebagai “kejutan besar” buat PH dengan sebahagian besar puncanya perlu diletakkan ke atas Mahathir.