Hishammuddin sekali lagi khianati rakyat, kata Lokman Adam

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menuduh bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein sekali lagi mengkhinati rakyat, terutama pengundi Tanjung Piai apabila didakwa membawa 22 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadiri mesyuarat di kediaman Timbalan Presiden PKR Azmin Ali malam tadi.

Lokman berkata Hishammuddin sebelum ini menjadi orang tengah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan membawa masuk pemimpin dan ahli Parlimen Umno ke dalam PPBM.

“Apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 ahli Parlimen BN ke rumah Azmin di Presint 8, Putrajaya?

“Walaupun bukan semua 22 ahli Parlimen ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sekumpulan ahli Parlimen BN dipercayai menghadiri mesyuarat di kediaman Azmin, disebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Mahathir Mohamad berundur.

Pertemuan itu, yang dikatakan “hanya makan malam” oleh satu sumber, dihadiri Hishammuddin dan kira-kira 20 ahli Parlimen BN, menurut sumber-sumber yang dekat dengan FMT.

Pertemuan ini selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Tanjung Piai pada Sabtu, yang mana calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA dipilih dengan majoriti besar 15,086 undi.

Mengulas lanjut, Lokman berkata Hishammuddin juga tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin daripada pimpinan Umno berhubung tindakannya.

Katanya, beliau telah pun membuat laporan kepada Lembaga Disipli dan presiden Umno berhubung penglibatan Hishammuddin dalam menghasut pimpinan dan ahli Parlimen Umno menyertai PPBM pada 30 Oktober 2019.

“Saya mengesa agar siasatan segera dijalankan dan tindakan disiplin diambil kepada mereka yang mempengaruhi pimpinan dan ahli Parlimen Umno untuk menyokong kepimpinan Mahathir, mahupun Azmin, sekaligus menghampakan harapan rakyat untuk melihat parlimen dibubarkan.

“Tindakan Hisham bertentangan dengan keputusan MT Umno yang sudahpun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam PH.”