Kekalahan PH di Tg Piai cermin sentimen pekerja, kata MTUC

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, wujud ‘jurang besar’ antara kerajaan dan pekerja berpendapatan rendah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kemerosotan sokongan bagi Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai Sabtu lalu turut mencerminkan sentimen pekerja di seluruh negara.

Katanya, rakyat kecewa dengan pemimpin kerajaan yang “kuat retorik tetapi tidak banyak tindakan”.

“Pekerja Malaysia, khasnya kumpulan B40 berpendapat kerajaan sebahagian besarnya pasif mengenai isu fundamental seperti gaji yang rendah dan kos sara hidup tinggi.

“Ini antara punca utama yang menyebabkan sokongan terhadap gabungan itu merosot,” kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon dalam kenyataan hari ini.

Barisan Nasional mencapai kemenangan terbesar dalam PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu dengan menewaskan PH di Tanjung Piai pada Sabtu lalu.

Calonnya, Wee Jeck Seng dari MCA, mendapat 25,466 undi – lebih separuh daripada pencabar terdekatnya dari PH, Karmaine Sardini yang hanya memperoleh 10,380 undi.

MTUC menyifatkan pengalamannya berurusan dengan kerajaan PH sejak 18 bulan lalu “mengecewakan”.

Solomon berkata, ia termasuk langkah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran meminda undang-undang buruh dengan mendakwa tindakan itu disokong MTUC.

“Satu daripada pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan membenarkan sesiapa saja menubuhkan sebanyak mungkin kesatuan sekerja di tempat kerja atau dalam industri, yang akan menimbulkan konflik antara kesatuan berbeza dan ahli mereka serta mencetuskan ketidakharmonian perusahaan.”

Beliau berkata, wujud “jurang besar” antara kerajaan dan pekerja berpendapatan rendah.

Katanya, kerajaan akan mendapat sokongan jika ia menangani isu fundamental, bukannya politik perkauman dan agama.

“Dengan memfokuskan ekonomi rakyat, PH akan terus mendapat sokongan rakyat pelbagai lapisan dan tidak dibelenggu politik tidak produktif dan membinasakan daripada pihak yang mahu kekal bermain isu perkauman serta agama.”