Kerusi keselamatan kanak-kanak dapat pelepasan duti, SST

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi pelepasan duti import dan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 5% bagi kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Langkah itu bertujuan menggalakkan ibu bapa memasang CRS dalam kenderaan masing-masing sebelum peraturan mewajibkan penggunaannya mulai 1 Jan.

Katanya, pengurangan itu sudah diluluskan Kementerian Kewangan dan kini dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pewartaan.

“Keselamatan di jalan raya tanggungjawab semua pihak termasuk orang awam dan pihak swasta.

“Semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan Kementerian Pengangkutan.

Loke berkata, pelaksanaan pemasangan CRS itu bukan keputusan tergesa-gesa, sebaliknya disarankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sejak beberapa tahun lalu.

“Peraturan itu sepatutnya dilaksanakan Januari lalu tetapi ditangguhkan untuk memberi masa kepada orang ramai, selain memastikan lebih banyak kesedaran dapat ditingkatkan sebelum pelaksanaannya,” katanya.

Kerajaan juga akan memastikan pendekatan pendidikan digunakan untuk memberi mesej kepada pengguna sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita faham perkara ini akan mengambil masa dan saya arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengeluarkan saman dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya kelak. Beri kesedaran, nasihat dan teguran kepada ibu bapa,” katanya.

“Saya faham pemikiran rakyat, selagi tidak diwajibkan mereka tidak akan berbuat demikian,” tambahnya.

Bermula 1 Jan kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.