Lagi rakyat Malaysia akan digantung di Singapura

Rakyat Malaysia, Abd Helmi Ab Halim akan menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) berkata seorang lagi rakyat Malaysia akan menjalani hukuman gantung di Singapura sambil meragui Abd Helmi Ab Halim menerima perbicaraan yang adil.

Penasihat LFL, N Surendran berkata Abd Helmi, 36, yang berasal dari Johor disabitkan kesalahan mengedar 16.56g diamorphine pada 24 Mac 2017 dan dijatuhi hukuman mati.

Dia dijadualkan akan menjalani hukuman gantung pada subuh Jumaat ini.

“Helmi secara konsisten menafikan sebarang pengetahuan mengenai dadah yang dikatakan dibawanya.

“Sekali lagi Singapura sedang bersiap melaksanakan hukuman mati terhadap keldai dadah yang didakwa, sementara raja dadah terus beroperasi tanpa hukuman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Surendran, yang mewakili banduan Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura, sebelum ini menuduh kerajaan Singapura dwistandard dalam menyasarkan rakyat Malaysia yang didakwa melakukan penyeludupan dadah dalam melaksanakan hukuman itu. Beliau juga mendakwa para peguam dihalang daripada berjumpa anak guam mereka di penjara.

Beliau juga mengulas mengenai “siri hukuman gantung” di republik itu selepas 10 penghuni di Penjara Changi, termasuk empat rakyat Malaysia yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah, ditolak petisyen permohonan mereka.

Singapura bagaimanapun menafikan menyasarkan rakyat Malaysia, mengatakan ia menggunakan undang-undang “sama” kepada pesalah tempatan dan warga asing.

Surendran hari ini berkata “ketidakseimbangan luar biasa yang tinggi” bagi mereka yang didakwa dengan pengedaran dadah di Singapura akhirnya disabitkan dengan kesalahan itu.

“Ini sendiri menunjukkan sistem undang-undang berat sebelah terhadap tertuduh dalam kes pengedaran dadah,” katanya.

Menggesa Singapura mematuhi undang-undang antarabangsa di mana hukuman mati bagi jenayah dadah adalah pembunuhan menyalahi undang-undang, katanya, Malaysia sendiri mengisytiharkan moratorium terhadap hukuman mati sementara memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan dadah.

“Kami juga menggesa kerajaan Malaysia menghantar wakil dengan segera ke Singapura untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.”