Maklum Ismail Sabri kalau nak bincang projek, Najib tegur pertemuan ‘sulit’ Azmin

Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata jawatankuasa disiplin parti perlu menyiasat pertemuan diadakan di rumah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali malam tadi.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata sebarang rancangan dan usaha untuk membincangkan projek dengan pihak lawan harus dimaklumkan kepada Ketua Pembangkang, Ismail Sabri atau whip parti terlebih dahulu.

Mengulas pertemuan “sulit” antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi, Najib memberitahu, sebarang pertemuan seperti itu sekurang-kurangnya patut diadakan di pejabat, dan bukannya di rumah.

“Kalau buat di rumah pada tengah malam, ia akan bawa pelbagai tafsiran,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pertemuan yang diadakan di kediaman Azmin di Putrajaya, yang menurut sumber dihadiri bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dan sekitar 20 ahli Parlimen BN.

Pertemuan itu diatur di sebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur.

Pengulas politik menyeru Mahathir memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum 2018 susulan kekalahan besar PH pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Soal apa yang berlaku malam tadi perlu disiasat oleh jawatankuasa disiplin,” kata Najib.

“Kita mesti jaga kesepaduan parti, disiplin parti, dan apa-apa tindakan yang kita lakukan mesti bersifat kepartian,” tambah beliau.