Minyak biodiesel B20 diperkenal di Langkawi tahun depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Industri Utama mengumumkan biodiesel B20 akan diperkenalkan di Langkawi, Labuan, Sarawak dan Sabah tahun depan.

Ketua setiausahanya, Tan Yew Chong berkata, bahan api dengan campuran 20% “palm methyl ester” dan 80% diesel petroleum, akan diperkenalkan di Langkawi pada suku pertama 2020, disusuli Labuan pada April, Sarawak pada Julai dan kemudian di Sabah.

Katanya, langkah itu akan membabitkan peningkatan kemudahan sedia ada, termasuk kemudahan simpanan dan pam.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menandatangani satu perjanjian dengan lima syarikat petroleum untuk meningkatkan kemudahan mereka bagi menampung biodiesel B30.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menggesa industri minyak sawit tempatan mengikut jejak negara lain yang sudah menggunakan biodiesel B20 seperti Indonesia.

Indonesia sedang bersedia untuk bertukar kepada penggunaan biodiesel B30 pada tahun depan.

Tan berkata, Malaysia dan Indonesia akan membiayai sebuah dana bersama untuk menangani kempen anti-minyak sawit.

“Di mana ada naratif anti-minyak sawit, kita perlu tampil dengan satu pelan komunikasi,” katanya kepada wartawan kemudian.

“Anda memerlukan wang, ia perlu datang daripada dana ini kerana kita berjuang bersama.”