Ibu di AS fail aduan diskriminasi selepas anaknya dibuli kerana berpuasa

Zaman Mashrah (kanan) dan anak lelakinya yang dipaksa menyaksikan rakan sekolahnya menikmati makan tengah hari ketika berpuasa di bulan Ramadan.

PETALING JAYA: Ibu kepada seorang pelajar beragama Islam di sebuah sekolah rendah di Amerika Syarikat memfailkan aduan diskriminasi selepas anaknya dikatakan dipaksa seorang pembantu guru untuk menyaksikan rakan sekolah makan tengah hari ketika berpuasa di bulan Ramadan.

Kejadian itu berlaku di Sekolah Rendah Seni Bay Ridge, New York pada Mei lalu.

Menurut laporan Stedfeed, pembantu guru yang mengenakan hukuman itu mendakwa kanak-kanak lelaki itu mentertawakannya menyebabkan mangsa diarah duduk di kafeteria dan menyaksikan kanak-kanak lain makan ketika dia berpuasa.

Ibu kanak-kanak tersebut, Zaman Mashrah, berang selepas mendengar mengenai insiden itu.

“Anak saya didiskrimasi secara agama pada bulan Ramadan oleh pembantu guru ketika dia sedang berpuasa. Dia dipaksa duduk dan menyaksikan pelajar lain makan, sementara pelajar lain yang berpuasa dibawa ke panggung,” tulisnya di Twitter.

Ketika kejadian pada 14 Mei itu, Mashrah dilaporkan merujuk anaknya kepada pengetua sekolah dengan harapan pembantu guru itu dikenakan hukuman terhadap tindakannya.

Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan oleh sekolah menyebabkan Mashrah memutuskan untuk memfailkan aduan diskriminasi kepada Jabatan Pendidikan. Aduannya bagaimanapun tidak mendapat respons, walaupun Jabatan Pendidikan dikehendaki oleh undang-undang untuk mengeluarkan keputusan bertulis dalam tempoh 90 hari daripada aduan difailkan.

Enam bulan selepas dua aduan pertama beliau tidak dapat diselesaikan, dia merujuk kesnya ke Majlis Peguam Amerika-Islam (CAIR-NY) New York, dengan memfailkan aduan terhadap Jabatan Pendidikan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Aduan itu menuntut pampasan bagi keluarga Mashrah, termasuk penalti terhadap kakitangan sekolah yang menghukum anaknya serta pegawai jabatan yang dikatakan gagal mengenakan hukuman tersebut.

“Kami amat berbangga mewakili @ZamanMashrah dan keluarganya. Tiada kanak-kanak patut disasarkan kerana mengamalkan kepercayaannya. Ia memerlukan banyak galakan untuk menentang buli pentadbiran. Terima kasih @ZamanMashrah kerana memperjuangkan @NYCSchools yang lebih baik kepada semua keluarga,” tulis CAIR-NY di Twitter.