Najib pecat peguam negara Gani kerana hilang kepercayaan, kata bekas ketua setiausaha negara

Abdul Gani Patail dipecat daripada jawatan peguam negara pada 2015, ketika beliau mengetuai pasukan petugas khas menyiasat 1MDB. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Najib Razak memecat Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada 2015, selepas beliau hilang kepercayaan terhadap ketua penasihat undang-undangnya, kata bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau turut memberitahu perbicaraan Najib mengenai pindaan laporan audit 1MDB yang Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin dipecat kerana membangkitkan soalan mengenai 1MDB.

Saksi pendakwaan keempat itu diminta menceritakan perubahan mendadak pada Julai 2015, susulan laporan dana 1MDB ditemui dalam akaun bank peribadi Najib.

Sementara itu, Ali berkata, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamed mahu mengambil cuti pada Ogos 2016 kerana sakit belakang berpanjangan.

Gani mengetuai sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat berbilion ringgit yang didakwa ada kaitan dengan dana 1MDB dalam akaun peribadi Najib, susulan pendedahan Sarawak Report dan The Wall Street Journal Pada Julai 2015.

Anggota lain dalam pasukan petugas khas itu ialah bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar.

Pasukan petugas khas itu dibubarkan susulan pemecatan Gani.

Ketika ditanya Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan, kenapa Gani dipaksa melepaskan jawatannya, Ali berkata: “Hilang kepercayaan.”

Ditanya siapa yang tidak mempercayai Gani, Ali menjawab: “Datuk Seri Najib.”

Katanya, beliau sendiri menyerahkan surat pemecatan itu kepada Gani yang disediakan setiausaha Kabinet ketika itu, Mazidah Abdul Hamid dan diluluskan Yang di-Pertuan Agong.

“Najib minta saya serahkan surat itu kepada Gani. Perdana menteri turut minta Gani mengosongkan pejabatnya tanpa mengambil apa-apa dokumen.”

Mengenai Muhyiddin, Ali berkata, Najib hilang kepercayaan terhadap timbalannya kerana beliau membangkitkan soal mengenai 1MDB.

“Secara kebetulan, Gani turut menemui Muhyiddin di sebuah pusat beli-belah,” kata ketua setiausaha negara dari 2012 hingga tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Ali yang menghadiri mesyuarat Kabinet atas kapasiti ketua setiausaha negara, berkata Najib tenang setiap kali Muhyiddin membangkitkan soalan mengenai 1MDB.

Katanya, ia adalah prerogatif perdana menteri untuk memecat anggota Kabinetnya.

Ali berkata, Abu Kassim meletak jawatan kira-kira setahun selepas Gani dan Muhyiddin dipecat.

“Beliau mahu ditempatkan di sesuatu tempat, tetapinya berakhir di Universiti Teknologi Mara,” katanya sambil menambah beliau diminta untuk mengesyorkan pengganti Abu Kassim.

“Saya cadangkan salah seorang timbalan Abu Kassim. Saya tahu ia adalah keputusan perdana menteri untuk memilih siapa yang mengambil alih jawatan itu.”

Najib kemudiannya melantik Dzulkifli Ahmad, pengarah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara, sebagai ketua SPRM.

Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan beliau meminda laporan audit 1MDB antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan akhir itu sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.