Pemimpin PKR nafi Azmin jumpa ahli Parlimen BN demi pertahan Dr M

Kamarudin Jaffar antara pemimpin PKR yang menghadiri pertemuan antara Azmin Ali dan kira-kira 30 ahli Parlimen BN di Putrajaya malam tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Kamarudin Jaffar yang menghadiri pertemuan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi, menafikan mereka berbincang untuk mendapatkan sokongan bagi mempertahankan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sebaliknya, beliau berkata, pertemuan itu membincangkan isu pembangunan dan dasar kemakmuran negara antara ahli Parlimen yang berminat.

Timbalan menteri pengangkutan itu berkata, sokongan untuk Mahathir tidak perlu dibincangkan lagi kerana blok pembangkang seperti PAS dan Umno sudah mengeluarkan kenyataan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Mahathir untuk tempoh sepenggal.

“Setiausaha agung PAS dah umum lama dah dia sokong Mahathir sepenggal, Umno pun umum lama dah sokong Mahathir satu penggal, bukan isu yang ada pertelingkahan atau perlu dibincang.

“Tak perlulah, apa nak dibincang lagi,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, sumber memberitahu FMT kira-kira 30 ahli Parlimen BN, termasuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menemui Azmin di kediaman rasminya di Putrajaya dipercayai untuk menghalang sebarang langkah memaksa Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Selain Kamarudin, turut hadir dalam pertemuan yang disifatkan “hanya perjumpaan makan malam” ialah Naib Presiden PKR merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menyiasat ahli Parlimen yang menghadiri pertemuan dengan Azmin malam tadi.

Katanya, beliau sudah dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut yang kini menjadi polemik sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli Umno dan rakyat.

“Secara dasar, Majlis Tertinggi (Umno) telah membuat beberapa ketetapan, antaranya sebarang tindakan oleh ahli Parlimen Umno dibuat secara bersama atau ‘en bloc’.

“Kita mahu memastikan segala keputusan parti dipatuhi semua pihak, khasnya ahli Parlimen Umno,” kata pengerusi BN itu ketika ditemui wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.