PKR tak tahu pertemuan Azmin dan ahli Parlimen BN, kata Fahmi

Fahmi Fadzil berharap semua pemimpin akan menghadiri mesyuarat Biro Politik esok untuk mengetahui butiran pertemuan Azmin Ali dan ahli Parlimen BN malam tadi.

KUALA LUMPUR: PKR akan membincangkan pertemuan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dengan kira-kira 30 ahli Parlimen, termasuk dari Barisan Nasional malam tadi, dalam mesyuarat Biro Politik esok, kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, parti itu tidak tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu, walaupun ada spekulasi mengatakan Azmin cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen terbabit untuk menghalang cubaan memaksa Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri, susulan kekalahan memalukan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada Sabtu lalu.

“Saya percaya pimpinan ada banyak tanda tanya dan boleh dirungkai (dan) diperjelas bila kita adakan mesyuarat Biro Politik malam esok.

“Harapan saya, semua pimpinan hadir untuk kita dapatkan maklumat penuh apa yang sebenarnya berlaku,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, lebih 20 ahli Parlimen Barisan Nasional, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein yang bulan lalu menafikan beliau cuba membentuk “kerajaan baru” tanpa sekutu utama PH, menghadiri pertemuan di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya.

Azmin sebelum ini dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat PKR tiga kali berturut-turut dan tidak sebulu dengan Presidennya, Anwar Ibrahim.

Di Pulau Pinang, Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar berkata, beliau tidak tahu mengenai pertemuan itu dan kepimpinan PH perlu dimaklumkan pertemuan sedemikian dengan wakil rakyat pembangkang.

“Saya tidak diberitahu mengenai pertemuan itu. Sesiapa daripada PH merancang mengadakan perbincangan atau mesyuarat dengan sesiapa perlu memberitahu Majlis Presiden kerana di situ semua perkara ditentukan.

“Kami berharap majlis itu akan dimaklumkan terlebih dahulu pada masa depan.”