PRK Batu: Jangan bunuh demokrasi

Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini memutuskan Naib Presiden PKR, Tian Chua layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei tahun lalu, lebih setahun selepas beliau dilarang mempertahankan kerusi Parlimen Batu serta boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang, namun itu bukan lesen untuk keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Batu.

Tindakan seumpama itu yang dicadangkan oleh beberapa pihak semata-mata mahukan Tian Chua kembali ke bergelar “YB” dan masuk Parlimen adalah sangat tidak demokratik dan tidak wajar. Jika ini dibenarkan berlaku rakyat dengan mudah akan mentafsir ia sebagai proses pencabulan terhadap amalan demokrasi dan sistem pilihan raya di negara ini.

Keputusan mahkamah ini sebaliknya wajar dilihat sebagai manifestasi dan kemenangan moral kepada Tian Chua yang dinafikan hak untuk bertanding dalam PRU14 dan perlu diraikan sebagai kemenangan demokrasi di negara ini. Dengan ini Tian Chua juga dapat membersihkan nama dan bersedia untuk bertanding dalam PRU yang akan datang.

Harus diingat kerusi Parlimen Batu yang dimenangi pelajar undang-undang, P Prabakaran, yang bertanding sebagai calon Bebas sebelum menyertai PKR selepas memenangi kerusi itu telah dipersetujui pencalonannnya pada ketika itu oleh Pakatan Harapan. Jadi adalah sangat tidak adil jika ada pihak yang meminta beliau mengosongkan kerusi itu sekarang untuk memberi laluan kepada Tian Chua melalui satu lagi PRK. Sepatutnya kita memberi kepercayaan serta ruang kepada Prabakaran dengan membiarkan beliau menjalankan tugasnya dan memenuhi segala harapan pengundi Batu.

Walaupun muda dan tiada sebarang pengalaman politik apatah lagi dibandingkan dengan pengalaman Tian Chua, kita tidak boleh memperkecilkan kemampuan dan ketokohan orang muda seperti ini. Pengundi Batu juga tidak boleh menilai mahupun begitu mudah menjatuhkan hukuman terhadap keberkesanan wakil mereka ini yang baru setahun lebih memegang jawatan tersebut.

Pada hari ini baik kerajaan mahupun anggota masyarakat banyak bercakap tentang peranan dan tanggungjawab serta masa depan dan hala tuju golongan belia dalam bangkit memimpin arus kemajuan dan pembangunan negara. Justeru individu seperti Prabakaran perlu terus dibimbing untuk menjadi pemimpin masa depan, dan kita percaya dalam konteks ini Tian Chua boleh menjadi mentor yang hebat.

Manakala dalam ruang lingkup yang lebih besar, gesaan mengosongkan kerusi ini yang dilihat hanya untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu adalah satu perbuatan yang membazir, sekali gus boleh mencetuskan persepsi dan keraguan dalam kalangan rakyat terhadap semangat menjunjung demokrasi dan ‘rule of law’ yang sering dilaungkan oleh PH.

Dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu kita sepatutnya tidak membazir dengan mengadakan PRK yang tanpa sebab seperti ini. Semua pihak perlu sedar kos pelaksanaan PRK sangat tinggi, misalnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini pernah mengumumkan anggaran kos bagi menjalankan PRK bagi satu kerusi DUN adalah sekitar RM1.6 juta manakala bagi Parlimen Port Dickson dan Cameron Highlands, kos yang dianggarkan SPR masing-masing adalah RM3.6 juta dan RM3.5 juta. Jadi perlukah kita membazir jutaan ringgit untuk satu lagi PRK Parlimen tanpa sebarang sebab yang munasabah?

Keputusan PRU14 berjaya membuktikan kepercayaan rakyat terhadap prinsip dan amalan demokrasi di negara ini masih baik apabila telah berlaku perubahan kerajaan dengan lancar dan rakyat dapat memilih dan menentukan kerajaan yang mereka mahukan. Jadi keyakinan rakyat ini perlu terus dipelihara.

Jika amalan mengosongkan kerusi dijadikan budaya, maka pastinya keyakinan rakyat itu akan terus jatuh merudum. Ini sekali gus akan menjejaskan imej dan nama baik kerajaan serta lebih parah lagi boleh mencetuskan sindrom defisit kepercayaan rakyat terhadap PH dan kerajaan.

Jadi hentikan desakan mahupun gesaan yang tidak berasas seperti ini, biarkan Prabakaran yang dipilih secara sah menghabiskan tempohnya. Jangan sesekali membelakangkan amalan dan sistem demokrasi yang kita junjung selama ini hanya kerana mahu memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Di kesempatan ini adalah dicadangkan pihak kerajaan yang sedang dapam proses melaksanakan reformasi terhadap sistem pilihan raya negara, wajar membuktikan ketelusan dan keikhlasan dengan memperkenalkan undang-undang yang melarang budaya mengosongkan kerusi tanpa sebab seperti ini.

Ingat, rakyat sedang menilai, memantau dan memerhati segala tindak tanduk pihak kerajaan yang telah diberi mandat untuk memimpin rakyat dan negara ini untuk tempoh lima tahun akan datang.

Noor Mohamad Shakil Hameed adalah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.