Putrajaya perlu wajibkan negeri pinda had umur perkahwinan kepada 18 tahun, kata kumpulan Islam

PETALING JAYA: Kumpulan memperkasakan wanita Islam, Sisters in Islam (SIS) membidas Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas timbalan perdana menteri itu menadangkan sukar untuk membuktikan pengantunan seksual di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Ia selepas Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata tujuh negeri enggan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Respons timbalan perdana menteri itu bukan saja tidak bertanggungjawab, tetapi dengan sengaja meletakkan kehidupan dan masa depan mangsa kanak-kanak ini dalam bahaya, di mana undang-undang sepatutnya melindungi mereka,” kata SIS dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Wan Azizah berkata, Selangor sudah meminda undang-undang berhubung perkahwinan bawah umur dan Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan, manakala Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak bersetuju meminda undang-undangnya.

Tetapi Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan tidak bersetuju menaikkan had umur minimum perkahwinan.

SIS berkata, tujuh negeri itu perlu menjelaskan alasan terhadap keputusan berkenaan.

“Ini walaupun pembuat undang-undang, ahli psikologi kanak-kanak, pengamal penjagaan kesihatan, ahli ekonomi dan institusi agama menyatakan kemudaratan eksponen disebabkan perkahwinan kanak-kanak.”

SIS turut mempersoalkan jika draf Pelan Strategik Kebangsaan untuk menangani perkahwinan kanak-kanak mengambil kira pandangan organisasi berkaitan hak wanita dan kanak-kanak serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Katanya, Putrajaya mempunyai tanggungjawab untuk mewajibkan negeri meminda undang-undang mereka bagi melindungi kanak-kanak kerana kebanyakan negara Islam, termasuk Indonesia sudah mengambil langkah untuk menangani masalah itu.

SIS turut memetik satu fatwa menentang perkahwinan kanak-kanak yang dikeluarkan Universiti Al-Azhar di Mesir.

“Fatwa itu secara jelas menyatakan umur 18 tahun menandakan tahap di mana seorang perempuan boleh menyuarakan hasratnya untuk berkahwin secara sah.”