Saya ada dengar Azmin jumpa ahli Parlimen BN, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berucap pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau ada “mendengar” pertemuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi.

“Saya ada dengar mengenainya. Saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan,” katanya selepas melancarkan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.

Semalam, sumber memberitahu FMT lebih 20 ahli Parlimen BN menemui Azmin di kediaman rasminya di Putrajaya dalam usaha menghalang tindakan memaksa Mahathir berundur.

Pertemuan tersebut dikatakan “hanya perjumpaan makan malam” yang turut dihadiri bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein.

Sekutu Azmin, Naib Presiden PKR serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar antara pemimpin parti itu yang dilihat meninggalkan kediaman Azmin malam tadi.

Pertemuan itu diadakan selepas kekalahan memalukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai Sabtu lalu, yang mana calon BN, Wee Jeck Seng daripada MCA menang dengan majoriti besar 15,086 undi.

Ramai pengulas politik mencadangkan Mahathir memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.