Suar dilontar ke arah penyokong Malaysia di Bukit Jalil

Antara suasana tegang antara penyokong Harimau Malaya dan Garuda selepas Malaysia mendahului 1-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Indonesia dicemari suar yang dibaling ke arah penyokong pasukan negara.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, provokasi itu berlaku selepas pasukan negara mendahului perlawanan dengan jaringan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-29.

Pada perlawanan berkenaan, kelihatan sebatang suar dilontarkan ke arah penyokong pasukan negara.

Ini bukanlah insiden pertama yang berlaku membabitkan penyokong Malaysia, sebaliknya provokasi dan serangan dari penyokong Indonesia pernah berlaku pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta.

Insiden hitam yang berlaku pada September lalu itu tercetus selepas perlawanan berakhir dengan Harimau Malaya menang 3-2 ke atas pasukan Indonesia.

Difahamkan, penyokong Indonesia pada ketika itu berang dan kecewa dengan kekalahan skuad Garuda, bertindak menyerang penyokong Malaysia dengan merempuh kawasan tempat duduk mereka.

Untuk rekod, pertembungan Malaysia dan Indonesia adalah pertemuan ke-97 sejak pertama kali pada 1957.

Skuad Garuda pada ketika ini masih gagal mengutip sebarang mata dan memerlukan kemenangan demi “survival” dalam saingan Kumpulan G.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang meraih kemenangan penting ke atas Thailand pada Khamis lalu mensasarkan tiga mata penuh demi mencerahkan laluan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia itu.