Tiada tanah orang Melayu dibayar setinggi Kampung Baru, kata Khalid
Khalid Samad membandingkan pembelian tanah bagi pembangunan KLCC sebelum ini hanya RM400 sekaki persegi.
KUALA LUMPUR: Nilai tawaran RM1,000 bagi setiap kaki persegi kepada penduduk Kampung Baru merupakan yang tertinggi dibayar kerajaan dan ia tidak pernah berlaku kepada tanah milik orang Melayu di tempat lain.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad membandingkan bayaran bagi pembelian tanah bagi pembangunan KLCC sebelum ini yang hanya RM400 sekaki persegi dan nilainya melonjak mendadak sebaik sahaja ia dibangunkan sepertimana sekarang.
“Harga ditawarkan semua sedia maklum RM1,000 sekaki persegi bersamaan RM43.5 juta seekar. Saya tahu ramai kata terlalu murah tetapi setahu saya tanah orang Melayu yang kekal syarat pemilikan Melayu dijual dengan harga RM43.5 juta seekar tak ada.
“… ada yang membuat perbandingan dengan tanah KLCC dan mengatakan tanah KLCC sekarang ini RM3,000 sekaki. Itu setelah KLCC dibina, tanah KLCC merupakan kawasan lumba kuda dulu. Kampung Baru belum dibangunkan, bila dibangun sudah pasti harganya naik.
“Ada orang kata bila sudah bangun, orang Kampung Baru sudah pergi tak ada di sana. Siapa suruh Orang Kampung Baru pergi, kita minta mereka kekal melabur di sana membeli hartanah di sana supaya setelah dibangunkan harga tanah naik, maka mereka dapat manfaat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) yang meminta menteri menyatakan nilai tanah Kampung Baru dibayar dan sehingga kini berapa jumlah penduduk bersetuju dengan tawaran baru itu.
Khalid turut berkata setakat ini hanya 35% penduduk Kampung Baru menyatakan maklum balas dan daripada jumlah itu 97% setuju dan 65% belum menyatakan maklum balas.
Kenyataan Khalid itu menimbulkan rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang yang meminta menteri itu tidak membuat perbandingan dengan pembayaran tanah tahun-tahun sebelum ini kerana berbeza nilai.
“Nilai sekarang dan dulu tidak sama, menteri kena buat perbandingan logik,” kata Awang Hashim (PAS-Pendang).
Khalid kemudian kembali penjelasan, memaklumkan jumlah bayaran diberikan kepada penduduk Kampung Baru berdasarkan penilaian semasa dibuat pihak Jabatan Penilaian Hartanah.
Putrajaya sebelum ini menaikkan harga tawaran iaitu RM1,000 bagi setiap kaki persegi tanah dengan RM850 dibayar melalui tunai, hartanah, kombinasi aset dan hartanah serta RM150 melalui pegangan saham syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan nanti.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Sebagai tambahan, pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam projek pembangunan di Kampung Baru akan diberikan diskaun sebanyak 15%.