Umno sedia siasat ahli Parlimen jumpa Azmin

Mohamed Apandi Ali. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Umno sedia menerima aduan berhubung ahli Parlimennya yang menghadiri pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali malam tadi dan berjanji akan menjalankan siasatan secara adil.

Pengerusinya, Mohamed Apandi Ali turut berjanji akan mengambil tindakan segera berdasarkan prosedur sedia ada.

“Perlu ditegaskan Lembaga Disiplin parti diberi amanah dan tanggungjawab dengan kuasa di bawah perlembagaan Umno untuk menjalankan tugasnya secara tegas, jujur dan saksama tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Pada 30 Okt lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menulis surat kepada lembaga itu mendakwa Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein menghasut pemimpin parti untuk menyertai PPBM.

Hari ini, Lokman mengulangi gesaan untuk lembaga itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Hishammuddin serta beberapa ahli Parlimen Umno yang menghadiri pertemuan di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya malam tadi.