Wanita cenderung kamera, lelaki pilih ketahanan bateri bagi telefon pintar

Ketua Industri Google Malaysia, Su Ann Lim membuat kajian bersama IPSOS mengenai tabiat kepenggunaan pemilihan peranti mudah alih di Malaysia.

Ketahanan bateri menjadi faktor utama pengguna di negara ini dalam membuat pemilihan telefon pintar baru mereka.

Selain itu, pengguna juga melihat kepada sistem operasi iaitu Android mahupun sistem keluaran Apple, iOS dan faktor pemilihan ketiga adalah spesifikasi peranti.

Bagi pengguna Android akan kekal dengan Android dan iOS mahu terus menggunakan iOS tetapi hampir 90% daripada rakyat Malaysia adalah pengguna Android.

Ketua Industri Google Malaysia, Su Ann Lim berkata, keputusan pemilihan pengguna itu diperoleh menerusi kajian dijalankan Google dan Firma Perunding Pasaran Global (IPSOS) mengenai tabiat kepenggunaan pemilihan peranti mudah alih di negara ini.

Katanya, kajian itu juga mendapati majoriti pengguna telefon pintar di negara ini memiliki peranti melebihi dua tahun malah rakyat Malaysia tidak menjadikan harga sebagai pilihan utama di mana ia jatuh ke tempat ke-4.

Dan berdasarkan nisbah, hanya seorang daripada dua pengguna yang menukar peranti mereka kurang 24 bulan.

Su Ann Lim ketika membuat pembentangan hasil kajiannya.

“Satu daripada lima pengguna pula didapati memilih telefon pintar berdasarkan jenama atau golongan ini dikategorikan sebagai ‘pencinta jenama’ dan hanya memilih jenama kesukaan mereka,” katanya selepas sesi perbincangan meja bulat bersama media.

Selain itu, katanya, kajian berkenaan yang membabitkan 929 responden turut mendedahkan hanya satu daripada 10 pengguna membuat pemilihan telefon baru selepas mengunjungi kedai atau rangkaian penjualan telefon pintar berdasarkan cadangan penjual.

“Sebanyak 25% pembelian telefon pintar hari ini adalah secara online (dalam talian) dan 27% adalah pembeli di luar bandar.

“Daripada jumlah responden, 59% menggunakan enjin carian Google untuk membuat semakan mengenai telefon yang ingin dibeli,” katanya.

Wakil media yang hadir turut dilontarkan beberapa soalan kuiz.

Dari sudut jantina, lebih ramai lelaki mementingkan pemilihan OS. Tetapi untuk wanita, walaupun dikatakan stereotaip tetapi kajian ini mendapati faktor kamera menjadi pilihan utama untuk membeli telefon pintar.

Su Ann turut berkata, pengeluar peranti boleh menarik minat pembeli di Malaysia dengan memberi fokus kepada tiga golongan iaitu pengkaji tegar, pengguna jenama yang setia, serta pembuat keputusan dalam kedai.

Dengan memberi maklumat lengkap terutama sekali di laman web, ia boleh menarik minat golongan pengkaji tegar.

Untuk pengguna jenama yang setia, sesuatu jenama perlu mengukuhkan jenama mereka dengan perkhidmatan yang dipercayai untuk masa panjang.

Pembeli di kedai pula lebih mudah, hanya berikan layanan yang mesra dan disenangi kepada pembeli yang berkunjung sudah mencukupi.

Terdapat dua golongan yang didapati majoritinya wanita lebih cenderung untuk membuat pembelian iaitu Auto Pilot dan pencari nasihat di dalam kedai (In-Store Advice Seeker).

Persamaan dua golongan ini ialah mereka menerima apa sahaja nasihat yang diberikan untuk membeli, berbanding membuat kajian mendalam atau mencari diskaun luar biasa.

Daripada dapatan oleh Google dan IPSOS boleh dirumuskan rakyat Malaysia sangat rajin membuat carian dan kajian sesebuah telefon pintar sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Pembelian dalam talian juga kian meningkat membuatkan ia dapat mencapai kawasan luar bandar di mana kedai fizikal sangat jarang ditemui di sana.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]