3 polis trafik cedera selepas bom meletup di Narathiwat

Sebutir bom buatan sendiri seberat 10kg meletup dan mencederakan 3 polis, merosakkan beberapa motosikal dan rumah berdekatan. (Gambar Bernama)

NARATHIWAT: Tiga anggota polis trafik Thailand yang sedang melakukan sekatan jalan raya cedera selepas sebutir bom meletup di Resak, Narathiwat semalam.

Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Resak, Komsan Thikarn berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang (waktu tempatan) semasa ketiga-tiga anggota polis itu bersama tiga lagi rakan mereka sedang membuat pemeriksaan kenderaan di Kampung Benae Jamong.

“Tiba-tiba sebutir bom buatan sendiri seberat 10kg yang disembunyikan dalam satu kotak besi tidak jauh dari tempat kejadian meletup dan mencederakan ketiga-tiga mereka. Letupan itu turut merosakkan beberapa buah motosikal dan rumah yang terletak berdekatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah salah seorang daripada yang cedera parah diterbangkan ke Hatyai, Songkhla untuk menerima rawatan di Hospital Prince of Songkhla University manakala dua lagi sedang menerima rawatan di Hospital Narathiwat.