Brendan Gan kecewa terlepas peluang berdepan UAE

Brendan Gan terlepas peluang beraksi menentang UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Mac depan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Walaupun kegembiraan meraikan kemenangan ke atas Indonesia malam tadi belum berakhir, namun pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan tetap kecewa kerana akan terlepas peluang beraksi dalam perlawanan menentang UAE pada Mac depan.

Gan menerima 2 kad kuning ketika perlawanan menentang Thailand Khamis lalu dan Indonesia malam tadi dalam saingan Kumpulan G sempena kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, perancang permainan dari Perak itu percaya ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe mempunyai pilihan terbaik menggantikannya dalam aksi menentang UAE.

“Saya kecewa kerana mahu beraksi menentang UAE. Ia perlawanan sangat penting bagi kami, tetapi saya mempunyai keyakinan penuh terhadap sesiapa saja yang dipilih menggantikan saya dapat melaksanakan tugas dengan baik.

“Pasukan ini adalah pasukan hebat dan saya tidak bimbang siapa yang akan mengambil tempat saya,” katanya selepas skuad kebangsaan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Indonesia hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid yang meledak gol pada minit ke-29 dan ke-72 malam tadi.

Mengulas perlawanan itu, Gan memuji rakan sepasukannya yang menunjukkan kesungguhan untuk memastikan kemenangan di depan 75,434 penyokong Harimau Malaya.

Katanya, kemenangan itu tidak mudah kerana lawan mereka berjuang bermati-matian dalam perlawanan tersebut.

“Kami mengumpul 9 mata (daripada 5 perlawanan) dan berada dalam kedudukan selesa (di tempat ke-2) dalam jadual buat masa ini dan berharap tahun depan kami dapat meningkatkan kedudukan.

“Kami perlu positif terhadap kualiti (pemain) yang ada dan kami bukan pasukan kecil lagi. Kami berkembang maju dan menjadi lebih baik di bawah jurulatih Tan dan para pemain mula bertambah yakin.

“Apabila anda mempunyai keyakinan itu, itulah yang akan mendorong anda terus berusaha keras dan menjadi pasukan hebat,” kata pemain kelahiran Australia itu.