CAAM tak lulus pandu uji kereta terbang esok

CAAM sedang menyiasat demonstrasi penerbangan EH216 dalam kawasan Lapangan Terbang Subang pada 15 Nov lalu.

PUTRAJAYA: Penerbangan ujian “Unmannes Aircraft System (UAS) E-Hang 216 (EH-216)” di hangar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), Subang esok tidak mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

CAAM dalam kenyataan hari ini berkata, lokasi pandu uji di UniKL MIAT kurang 200m daripada trafik penerbangan komersil dan helikopter, serta ia jelas berada dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah kawalan pengawal trafik udara.

EH216 hanya diberikan permit khas penerbangan (SFP) daripada “State of Design” (Pihak Berkuasa Penerbangan China) yang terhad kepada kajian dan pembangunan penerbangan di Taman Sains Grand World, Guangzhou.

CAAM sedang menyiasat demonstrasi penerbangan melibatkan EH216 pada 15 Nov lalu di tempat sama dalam kawasan Lapangan Terbang Subang.

“Walaupun CAAM menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia, ujian dan demonstrasi penerbangan perlu dilakukan mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 bagi memastikan keselamatan.”

CAAM berkata, mereka bersedia mempertimbangkan permohonan penerbangan ujian EH216 di kawasan bersesuaian dengan sokongan “State of Design” pesawat tersebut.