Coretan gelap dan sepi Tanjung Piai

Suasana selepas subuh hari itu, sungguh berbeza. Ia berbeza dengan hari-hari yang sebelum itu. Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) jelas mempamerkan mesej pemberontakan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini.

Kekalahan besar dialami oleh Pakatan Harapan (PH) membuktikan ia harus melakukan kerja rumah dengan lebih banyak lagi. Kekalahan yang begitu memalukan ini mestilah dianalisis dan disemak apakah puncanya. Bukan semata-mata untuk PPBM sahaja, tetapi ia harus meliputi setiap ruang lingkup parti komponen yang lain seperti PKR, DAP dan Amanah.

PH harus sedar bahawa bibit-bibit penolakan rakyat sudah mula mekar membangun. Benarlah hari yang gelap buat PH, tetapi hari yang penuh sinaran buat BN. PH kecundang di tangan BN dengan perbezaan 15,086 undi. Calon BN, Wee Jeck Seng memperolehi 25,466 undi, manakala calon PH Karmaine Sardini memperolehi 10,380. Jauh sekali, sangat jauh.

Sabtu lalu, PH dilanda tsunami undi penolakan yang besar membabitkan masyarakat Melayu dan Cina. Ia dilihat ketara di Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Cina apabila kadar peralihan sokongan kepada BN berlaku pada kadar dua kali ganda lebih tinggi berbanding Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu. Apa yang lebih menarik, undi golongan muda juga memberikan impak yang kepada keputusan undi pada kali ini.

Berdasarkan kepada statistik, PH kalah di semua PDM, berbeza dengan rekod PRU yang lalu bahawa PH memenangi 11 daripada 27 PDM yang dipertandingkan. Ia satu perkara yang wajar difikirkan kembali oleh PH dalam menaut kembali hati sanubari rakyat.

Penolakan majoriti orang Cina kepada PH ini sebabnya apa? Adakah kerana salah Dr Mahathir Mohamad semata-mata? Adakah salah Anwar Ibrahim? Tak logik pula. Sebab dia pun tiada dalam barisan Kabinet menteri. Nak salahkan Mahathir, bukan dia sahaja yang berada dalam kerajaan hari ini. Ramai lagi. Kalau mahu dinukilkan contohnya Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng. Mereka ini, ketawa sahaja ke?

Barangkali boleh jadi salah DAP. Kerana majoriti pengundi Cina di Tanjung Piai beralih undi kepada BN – MCA. Apa salah DAP kali ini? Gagalkah Lim mentadbir urus kewangan negara? Gagalkah Gobind Singh Deo memperkasa teknologi alaf baru di Malaysia? Mungkin salah Teo Nie Ching. Mungkin.

Barangkali salah menteri besar Perak yang didakwa menjaja cerita yang tidak baik kepada rakan komponennya DAP ketika berbual dengan masyarakat kampung ketika sedang hangat PH berkempen untuk calonnya.

Perasaan tidak boleh menjadi dalil. Apatah lagi sebuah sangkaan.

Persoalan seperti ini haruslah menjadi titik tolak kepada sebuah penyelesaian yang tuntas oleh PH. Satu persoalan lagi, ahli PAS undi siapa di Tanjung Piai?

Para strategis PH harus sedar kembali bahawa padang permainan sudah berbeza. Tambahan pula sentimen kaum dan agama yang digunakan oleh Umno dan PAS lebih dominasi berbanding dengan usaha reformasi kerajaan bermula dengan banteras rasuah, sistem pilihan raya, memberi autonomi kepada universiti, memperkasa parlimen Malaysia dan sebagainya.

Kita harus jujur bahawa banyak usaha reformasi yang dilakukan walaupun belum bersifat holistik keseluruhannya. Tetapi adakah perkara ini tidak dapat juga memenuhi kehendak rakyat?

Satu persoalan lagi, sejauh mana PH meyakinkan rakyat bahawa mereka itu bukan boneka DAP? Pembangkang begitu mudah mengambil kesempatan ini untuk meraih kepentingan politik mereka. Naratif itu mustahak untuk diperbetulkan demi kemaslahatan umum.

Kepentingan dan kesepaduan undi Melayu juga haruslah dititikberatkan dalam siri meraih kelompok pengundi majoriti di siri pilihan raya kecil akan datang.

Luthfi Yusri adalah Yang Dipertua Persatuan Belia Harmoni Universiti Malaya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.