Dakwaan jumpa Agong tidak betul, kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyangkal spekulasi mengatakan beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi ini.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, pagi ini.

“Itu abaikan, sebab tu ‘fake news’. Itu benda yang berat, tak betul, pagi ni saya di sini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Awal pagi tadi, tular satu pesanan berantai di WhatsApp mengatakan Anwar berada di dalam bangunan Istana Negara untuk bertemu Agong. Pesanan itu yang menggunakan nama Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut menjemput petugas media membuat liputan di luar kawasan istana.

Bagaimanapun, Fahmi menafikan beliau mengeluarkan jemputan tersebut.

Ketika ditanya sama ada wujud usaha untuk mengadap Agong, Anwar menafikan sekeras-kerasnya.

Katanya, kali terakhir beliau mengadap Sultan Abdullah ialah tiga minggu lalu di Istana Melawati dan ia merupakan pertemuan biasa.

“Bukan nak rahsia, tidak ada langsung.

“Ini cuma percubaan untuk laga-lagakan di kalangan yang tiada kekuatan. Bila tiada kekuatan, dia akan gunakan fitnah dan penipuan,” katanya.

Anwar kelihatan tiba di Dewan Rakyat pada jam 10.10 pagi.