Gara-gara minta baki beli arak, lelaki parah ditetak anak saudara

Seorang lelaki parah ditetak anak saudaranya selepas bertengkar kerana meminta duit baki membeli arak.

SEREMBAN: Seorang lelaki parah ditetak anak saudara lelakinya dengan sebilah parang dalam pertengkaran di Kampung Panchor, Rompin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata sebelum kejadian, mangsa berusia 26 tahun bersama suspek berusia 19 tahun keluar memancing kira-kira pukul 5.30 petang di Bahau.

Beliau berkata kedua-dua mereka kemudiannya pulang ke rumah pada 9 malam sebelum mangsa meminta suspek untuk membeli arak dengan memberikan wang sebanyak RM50.

“Sejurus suspek pulang ke rumah, mangsa meminta duit baki sehingga menyebabkan pertengkaran lalu suspek mengambil parang di dapur rumah mereka dan menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahagian dahi, dada kanan dan tangan kiri.

“Pergaduhan itu dileraikan ibu mangsa seterusnya menghantar mangsa ke hospital manakala suspek telah melarikan diri,” katanya.

Katanya mangsa ditempatkan di zon kecemasan Hospital Jempol dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Polis masih mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.