Hanya 0.4% warga asing beli rumah mewah lebih RM1 juta, kata Zuraida

Terdapat 4,213 rumah mewah berharga RM1 juta ke atas dengan nilai RM8.3 bilion tidak terjual di negara ini. 

KUALA LUMPUR: Jumlah warga asing memberi rumah mewah bernilai lebih RM1 juta ke atas sejak ia dibuka hanya sekitar 0.4% dan berada pada paras rendah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata jumlah itu jelas menunjukkan transaksi pembelian hartanah dari warga asing masih terkawal.

“Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) Suku Kedua 2019, terdapat 4,213 (12.8%) rumah mewah berharga RM1 juta ke atas dengan nilai RM8.3 bilion tidak terjual di negara ini.

“Sehubungan itu, penjualan rumah mewah kepada warga asing dapat mengurangkan lambakan unit rumah mewah sedia ada serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.

“Berdasarkan transaksi jual beli hartanah kediaman yang dikeluarkan oleh Napic sehingga kini (Jan-Jun 2019), jumlah pemilikan rumah oleh warga asing adalah amat rendah iaitu sebanyak 398 orang (0.4%), berbanding pemilikan oleh warga Malaysia iaitu 99,524 orang (99.6%).

“Secara keseluruhan, transaksi ini menunjukkan pasaran hartanah kediaman bagi warga asing masih terkawal,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang memintanya menyatakan sejauh manakah penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing berupaya menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual serta berupaya untuk memulihkan ekonomi negara.

Zuraida memaklumkan HOC merupakan program membabitkan rakyat Malaysia bukan untuk warga asing.

“HOC merupakan program yang diperuntukkan kepada rakyat Malaysia sahaja bagi memiliki kediaman dengan insentif yang diberikan oleh Kerajaan dan diskaun daripada pihak pemaju.

“Manakala melalui program Malaysia My Second Home (MM2H), kerajaan menyediakan satu inisiatif untuk menarik dan menawarkan peluang kepada warganegara asing yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi serta memenuhi syarat untuk menetap dan merancakkan ekonomi di Malaysia melalui subsektor pelaburan, hartanah, pendidikan, perubatan, dan automobil,” katanya.

Zuraida menambah, bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar tindakan segera diambil bagi memastikan lambakan rumah mewah ini terjual dan sekali gus membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

“KPKT mencadangkan agar rumah-rumah mewah yang tidak terjual ini boleh dijual kepada ekspatriat yang berkelayakan mengikut mekanisme sedia ada kerajaan melalui program MM2H dan bukanlah melalui HOC seperti yang dijelaskan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan langkah pengurangan nilai ambang kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing dan ia hanya terpakai kepada unit sedia ada yang masih tidak terjual dan berkuatkuasa dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020 saja.

Mengulas penyediaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah menerusi program 1 juta rumah, Zuraida berkata pihaknya komited melaksanakannya dalam tempoh 10 tahun.

“Pelaksanaan rumah mampu milik 1 juta, pihak swasta banyak menumpukan kepada pembinaan rumah mampu milik ini, sementara bagi tanah-tanah kerajaan tandernya akan dibuka,” katanya.