‘Iman’ badak Sumatra terakhir Malaysia hampir pupus

Selepas badak sumbu Sumatra jantan iaitu Tam mati pada Mei lalu, kini badak sumbu Sumatra betina di Malaysia, Iman pula sakit.

Memaklumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata Iman hanya mampu bertahan beberapa minggu sahaja untuk hidup.

Jelasnya lagi, doktor sedang memantau kesihatan badak sumbu tersebut, namun dikatakan kesihatannya semakin merosot.

Menurut doktor haiwan hidupan liar, Dr Zainal Zahari Zainuddin, tumor di rahim Iman yang dikesan pada Mac 2014, telah merebak ke pundi kencingnya.

Namun Zainal berkata ia tidak dapat dikeluarkan kerana risiko yang tinggi terhadap kesihatannya yang semakin terjejas.

“Doktor haiwan itu memberitahu saya bahawa tidak ada cara untuk menghentikan pertumbuhan tumor ini, malah pembedahan untuk membuangnya terlalu berbahaya. Ia akan menyebabkannya kehilangan darah dengan banyak dan boleh mengakibatkan kematian,” kata Liew.

Badak Sumatra merupakan spesis badak terkecil yang masih hidup sehingga hari ini.

Berikutan itu, satu kaedah cuba dilakukan iaitu persenyawaan “in vitro” di mana ia berpotensi menghasilkan telur di antara iman dengan hidupan liar Indonesia selaras dengan perjanjian yang ada.

Laporan National Geographic menganggarkan kurang daripada 80 badak Sumatra yang masih wujud dalam dunia hari ini.

Dalam pada itu, Liew berkata kerajaan Sabah masih komited untuk bekerjasama dengan Indonesia untuk mengekalkan spesis tersebut, sambil berharap dapat mempercepatkan mesyuarat dua hala minggu depan.

“Kami mahu memainkan peranan untuk membantu mencegah spesis mamalia pertama hancur abad ke-21,” katanya.

Tambahnya, memorandum persefahaman dengan Indonesia hampir siap ditandatangani dan ia berkaitan dengan penyelidikan, biologi reproduktif, penternakan dan pertukaran pengetahuan dan pengalaman.

“Ini perlu dilakukan secepat mungkin kerana masa adalah perkara yang penting pada waktu ini. Kita perlu lakukannya sekarang,” katanya sambil menekankan Iman berada di ambang kematian.

Sebelum ini berat Iman 476kg bagaimanapun ia turun 44kg pada minggu lalu gara-gara hilang selera makan.

“Dia tidak makan mengikut jumlah yang biasa dan tidak makan makanan tambahan yang disediakan,” kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

Sebelum ini, Sabah telah cuba menyemai telur Iman dengan sperm badak jantan Tam , tetapi tidak berjaya menghasilkan embrio.

Sejak itu, usaha telah meningkat dua kali ganda untuk menyelamatkan spesis ini dengan melibatkan negara jiran, Indonesia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]