
KUALA LUMPUR: Selepas beberapa jam bertikam lidah di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said memaklumkan beliau dan rakannya dari Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman sudah berbaik.
Ismail, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika bangkit mencelah perbahasan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Segamat, Edmund Santhara di Dewan Rakyat.
“Kuala Krau dengan Pasir Salak pun sudah maufakat elok,” kata Ismail sambil disambut gelak ketawa wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.
“Kita pakat elok kerana kita ada speaker yang baik dan budiman,” katanya.
Sebelum itu, Ismail sempat secara berseloroh, bertanyakan sama ada Cha Kee Chin (Rasah-DAP) bersetuju jika Santhara, dari PKR, jika diangkat sebagai perdana menteri.
“YB Rasah sokong ke Segamat jadi menteri,” usik Ismail selepas Ahli Parlimen Arau (BN), Shahidan Kassim mencadangkan Santhara diangkat sebagai perdana menteri.
Gurauan Ismail itu dipercayai merujuk kepada ketegangan melibatkan Santhara dan Chin berhubung ucapan kesat di Dewan Rakyat membabitkan dua wakil Pakatan Harapan itu.
Terdahulu Santhara membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Hari ini, lobi bangunan Parlimen kecoh apabila Ismail dan Tajuddin bertikam lidah secara tiba-tiba dengan menggunakan perkataan “bodoh” dan “bangang”.
Ia bermula apabila Ismail bertindak memarahi Tajuddin dengan perkataan kesat di khalayak ramai.
“Bodoh! Bangang! Apa ni ahli Barisan Nasional lama,” kata Ismail kepada Tajuddin yang berdiri di depannya.