Kenali jus baik untuk kesihatan

Siapa yang tidak suka minum jus? Apatah lagi jika jus campuran buah-buahan.

Tetapi adakah semua jus elok untuk di amalkan? Jom ketahui jenis jus baik untuk kesihatan.

Baguskah jus untuk kesihatan?

Segelas jus sejuk yang dibuat menggunakan buah-buahan segar, pasti memberikan rasa yang enak dan mengembalikan kesegaran pada diri.

Rasa manisnya sudah tentu mampu menawan hati banyak individu tanpa mengira usia.

Sering kali kita akan menganggap jus adalah minuman bernutrien yang baik untuk kesihatan.

Tetapi menurut pakar pemakanan, bukan semua jus baik untuk kesihatan. Ini kerana terdapat jus yang hanya lebih baik sedikit berbanding air gula.

Jenis jus

1. Jus sayuran

Menghasilkan jus daripada sayuran adalah mudah dan baik untuk anda. Lycopene dalam jus tomato boleh membantu mengurangkan risiko kanser prostat. Jus bit (beet) pula dapat mengawal tekanan darah.

Walaupun tidak sebanyak mengambil sayuran secara mentah, namun masih terdapat serat dalam sari (pulp) jus sayuran dan ia berfungsi menyingkirkan rasa lapar. Malahan kandungan gula dan kalori juga adalah lebih rendah berbanding jus buah biasa. Jangan lupa untuk menyemak kandungan sodium (garam) atau anda boleh memilih jus sayuran versi kurang sodium.

2. Jus delima

Jika anda ingin mengamalkan pengambilan satu gelas jus setiap hari, pastinya anda mahukan pilihan yang terbaik.

Adakah anda tahu jus apa yang menawarkan kandungan nutrisi paling hebat dan berbaloi untuk diminum?

Haaa…jawapannya adalah jus delima. Jenis jus ini adalah tinggi kandungan gula dan kalori tetapi memberikan banyak nutrien baik untuk anda yang dipanggil antioksidan. Kandungan antioksidan di dalam jus delima adalah lebih besar berbanding teh hijau.

3. Jus kranberi

Jus daripada buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang diperlukan oleh sistem imun badan anda.

Mengambil minuman jus kranberi tanpa gula boleh membantu mencegah pembentukan bakteria yang menyebabkan jangkitan saluran kencing.

4. Jus acai beri

Acai beri merupakan buah yang terdapat di Amerika Selatan.

Sari buah acai ini mempunyai kepekatan antioksidan yang lebih tinggi berbanding kranberi, beri hitam, strawberi mahupun beri biru. Rasanya masam-masam manis sudah tentu mampu menambat citarasa anda.

5. Jus anggur merah

Mungkin anda pernah mendengar pengambilan wain merah dalam jumlah yang terkawal dan sederhana adalah baik untuk hati. Begitu jugalah kesannya jika anda minum jus anggur merah.

Ia kaya dengan flavonoid dan resveratrol.

6. Jus prun

Kebanyakan individu yang minum jenis jus ini adalah untuk melegakan sembelit.

Ia amat berkesan membantu sistem pencernaan anda kerana prun merupakan sumber serat yang baik dan mengandungi julap (laxative) semula jadi yang dipanggil sorbitol.

Jus ini juga mempunyai kandungan antioksidan, zat besi dan kalium.

Jangan tersalah pilih

Jaga-jaga dengan istilah “juice cocktail”, “juice-flavored beverage” dan “juice drink”.

Ini kerana kebanyakan produk ini hanya mempunyai kandungan jus sebenar yang sedikit.

Sebaliknya kandungan utama adalah air dan beberapa jenis pemanis seperti sirap jagung fruktosa tinggi.

Dari aspek nutrisi, minuman ini tidak jauh bezanya dengan minuman berkarbonat yang tinggi gula dan kalori tetapi rendah nutrien.

Jika ini pilihan anda, lebih baik anda hanya minum air kosong.

Jadi apabila berasa ingin minum jus, mungkin anda boleh memilih antara jus yang di senaraikan di atas.

Tetapi ia diambil dalam jumlah yang terkawal terutamanya bagi kanak-kanak.

American Academy of Pediatrics menyarankan untuk kanak-kanak di bawah usia 6 tahun hanya mengambil jus antara 4 auns hingga 6 auns sehari, manakala bagi yang berusia 7 tahun ke atas untuk minum antara 8 auns hingga 12 auns.

Namun pastikan ia adalah 100 peratus jus asli tanpa bahan pengawet.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]