KM Melaka pertahan timbalan speaker selepas dakwaan tak hormat Al-Quran

Adun Sungai Udang, Idris Haron dilarang membaca ayat Al-Quran pada persidangan DUN ke-14, semalam.

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini mempertahankan Timbalan Speakernya, Wong Fort Pin yang menghalang Adun Sungai Udang, Idris Haron membaca ayat Al-Quran pada persidangan DUN ke-14, semalam.

Adly berkata Wong memberi masa yang mencukupi termasuk tiga minit tambahan untuk Idris membentangkan usul.

“Kenyataan yang menyatakan timbalan speaker tak menghormati ayat Al-Quran tidak benar dan saya harus perbetulkan, semalam kedudukan utama kita adalah masa.

“Saya tengok hari ini keluar video, kita diperalatkan seolah-olah memberi gambaran timbalan speaker kita itu tidak menghormati Al-Quran, kenapa itu harus berlaku?

“Saya beritahu timbalan speaker kita menghormati Al-Quran kerana dia menghormati masa. Masa bagi kita cukup penting. Semalam kita beri masa 13 minit, lebih 3 minit (kepada Idris) daripada orang lain,” katanya.

Semalam, tersebar video ketegangan persidangan DUN Melaka ketika membahaskan bajet apabila Wong tidak membenarkan Idris meneruskan membaca ayat Al-Quran selepas masa diberi tamat.

Beberapa wakil kerajaan dan pembangkang turut bangun memohon Idris dibenarkan untuk meneruskan bacaan tersebut.

Mengulas lanjut, Adly menyifatkan perkara itu hanya salah faham dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Tapi saya beritahu timbalan speaker, semalam Sungai Udang memang nak mengakhiri ucapannya cuma dia selalu mengganggu, jadi timbalan Speaker rasa dia nak berapa panjang lagi sebab itu dia suruh berhenti.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat Melaka tentang peraturan dewan yang termaktub memberikan kuasa kepada speaker untuk menghentikan perbahasan.

“Memang ada peraturan dalam dewan, kuasa ini adalah kuasa speaker jadi kalau dia kata berhenti, berhentilah. Kalau kita benarkan… speaker kata berhenti, kita baca ayat Al-Quran, apakah itu peraturan kita?”