Kontinjen Sukan SEA akan diberi vaksin polio

Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 menghadiri perhimpunan akhir selama 3 hari bermula semalam di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengambil langkah proaktif atas saranan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) untuk memastikan kontinjen negara diberikan vaksin polio sebelum ke temasya sukan dwitahunan itu.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kontinjen negara yang terdiri daripada 1,114 atlet dan pegawai akan diberikan vaksin berkenaan.

“Kita putuskan untuk beri vaksin polio pada minggu lepas selepas menerima surat daripada penganjur.

“Nak kata wabak itu sedang menular, tidak. Cuma ia sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya pada sidang media di Wisma OCM di sini hari ini.

Azim berkata, suntikan vaksin itu dijangka diberikan esok dalam perhimpunan akhir kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Sebelum ini, kontinjen negara hanya diwajibkan mengambil suntikan vaksin bagi mencegah demam campak.

Untuk rekod, Malaysia akan diwakili 774 atlet dalam 52 daripada 56 sukan yang dipertandingkan di temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.