Krisis di Hong Kong: Penunjuk perasaan di universiti enggan serah diri

Penunjuk perasaan yang menduduki Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) sejak tiga hari enggan menyerah diri kepada pihak polis. (Gambar AFP)

HONG KONG: Puluhan penunjuk perasaan prodemokrasi yang memasuki hari ketiga merampas dan bersembunyi di sebuah universiti di sini, enggan menyerah diri kepada pihak polis, ketika China mula menghantar isyarat tahap kesabaran mereka terhadap konflik yang berlarutan hampir enam bulan di bandar raya ini sudah mencapai kemuncak.

Polis mula mengepung Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) sejak Ahad lalu apabila ratusan penunjuk perasaan beralih ke kampus itu sebagai sebahagian daripada kempen memprotes besar-besaran yang bermula minggu lalu.

Ketika dikepung, penunjuk perasaan bertindak dengan membaling molotov koktel, memanah dan melempar bata ke arah anggota polis manakala anggota keselamatan membalas dengan ancaman menggunakan peluru hidup.

Sebahagian penunjuk perasaan melepaskan diri daripada pengepungan itu dengan turun menggunakan tali dari sebuah jambatan ke jalan raya.

Sebahagiannya menyusup ke dalam saluran pembetung untuk mencari jalan keluar.

Dalam usaha mengalih perhatian polis, puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kampus PolyU malam Isnin lalu ketika pertembungan serentak di daerah Kowloon berhampiran.

Konfrontasi berterusan di Hong Kong bertukar kepada krisis prodemokrasi paling ekstrem dan berpanjangan, yang menyaksikan jutaan penduduk berhimpun di jalanan sejak Jun lalu untuk menyuarakan kemarahan terhadap China kerana menghakis kebebasan di wilayah itu.

Dalam ulasan awam pertamanya berhubung krisis di PolyU, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam berkata, menyerah diri adalah satu-satunya cara untuk mencapai perdamaian.

“Objektif hanya dapat dicapai dengan kerja sama penuh penunjuk perasaan termasuk perusuh. Mereka perlu menghentikan keganasan, menyerahkan senjata dan menyerah diri secara aman dan patuh arahan polis,” katanya.

Lam memaklumkan sehingga kini lebih kurang 600 orang penunjuk perasaan telah meninggalkan kampus tersebut, termasuk 200 daripadanya yang berusia bawah 18 tahun.