Lagi 14 saksi akan dipanggil bantu siasatan kes kematian Beng Hock

Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat 9 Plaza Masalam di Shah Alam, ketika beliau ditahan semalaman untuk disoal siasat SPRM.

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil 14 saksi lagi untuk membantu siasatan kematian bekas pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock selepas peguam negara mengarahkan kes itu disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah) pada Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata ada di antara 14 saksi itu pernah memberi keterangan dalam kes yang sama.

“Sebelum ini, kami sudah merakam keterangan tujuh individu membabitkan lima saksi lama dan dua saksi baru bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

“Kami akan memanggil 14 lagi individu yang terdiri daripada rakan setugas mangsa dan beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada 18 Nov lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan siasatan khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Bukit Aman untuk menyiasat kematian Teoh selepas peguam negara mengarahkan ia disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh adalah kesalahan jenayah akibat jatuh dari bangunan disebabkan tindakan seorang atau beberapa individu tidak dikenali.

Pada 2016, Jabatan Peguam Negara mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian Teoh, pembantu Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ketika itu.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat 9 Plaza Masalam, Shah Alam, yang menempatkan ibu pejabat lama SPRM Selangor, di mana beliau ditahan semalaman untuk disoal siasat.

Sementara itu, Huzir berkata, tiada keperluan untuk ketua polis negara menemui Tabung Amanah Teoh Beng Hock Untuk demokrasi (TBH Trust).