‘Maggie’ guna taktik bulu tebal elak dibaham serigala

Seekor kambing yang mempunyai berat bulu cecah 20kg sangat mencuri perhatian ramai.

Dengan diberi nama Maggie, haiwan itu dilihat hidup bersendirian di dalam hutan sejak lima tahun lalu di daerah Ilm-Kreis, Thuringia, Jerman.

Kambing tersebut sering dilihat pejalan kaki di Lembah Jonas namun akan melarikan diri masuk ke dalam hutan apabila ternampak pemandu yang melalui jalan tersebut.

Menurut laporan Daily Mail, bulu kambing biri-biri itu semakin tebal dan ia boleh memudaratkan haiwan tersebut.

Oleh itu majoriti masyarakat di situ menyarankan agar bulu kambing itu dicukur supaya tidak menjejaskan haiwan itu sendiri.

Begitu juga bagi seorang penggembala tempatan, Gerhard Schuh, 59 apabila turut menyatakan perkara yang sama.

“Bulu ini menyerap banyak air dan haiwan ini boleh jatuh sakit. Bulu itu juga boleh menjadi kusut di dalam semak dan menyebabkannya mati kelaparan.

“Mereka yang bimbang tentang keadaan kambing ini, perlu membantu menangkapnya,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan bulu yang tebal itu menghindarkan Maggie daripada menjadi mangsa kepada serigala.

Ia sekaligus menjadi strategi Maggie untuk kekal selamat walaupun bersendirian di dalam hutan.

Maggie semakin dikenali ramai setelah mempunyai laman Facebooknya sendiri.

Ia diasaskan Christin Bayer, iaitu individu yang menamakan haiwan itu sebagai Maggie.

“Saya menggunakan jalan ini untuk bekerja setiap hari. Saya namakannya sebagai Maggie kerana beranggapan ia seekor kambing biri-biri betina.

“Saya membuat laman Facebook untuknya supaya orang ramai berkongsi memuat naik gambarnya.

“Ia tidak mengambil masa yang lama, sehingga pengguna mula memuat naik gambarnya,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]