Makin tua makin bermanfaat, Dr M mampu selamatkan negara, kata Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata PAS akan terus menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal ini.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti Islam itu akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sehingga akhir penggal ini.

Beliau turut memberi jaminan semua 18 ahli Parlimen PAS akan menyokong kepimpinan Mahathir jika ada usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hanya Mahathir yang dilihat mampu “menyelamatkan” negara ketika ini berbanding tokoh politik lain.

“…walaupun masa pilihan raya (umum) lalu, saya pernah sebut beliau tolong jaga Klinik 1Malaysia, tetapi nampaknya makin tua makin menjadi.

“Tua-tua kelapa, makin tua makin kemas untuk selamatkan negara. Orang lain belum tentu. Dia (Mahathir) sudah tunjukkan bukti positif,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Mohamed Azmin Ali dengan lebih 20 ahli Parlimen Barisan Nasional di kediaman rasmi menteri hal ehwal ekonomi itu kelmarin, yang dikatakan sebahagian usaha menghalang tindakan memaksa Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Hadi menyifatkan pertemuan kontroversi itu sebagai perasaan cemburu antara satu sama lain dan berkata PAS tidak akan mencampuri urusan parti lain.

“Kepercayaan sesama sendiri itu penting. Masing-masing dapat menangani (masalah) parti berdasarkan apa yang ada dalam parti masing-masing,” katanya.