Menteri diasak wakil rakyat pembangkang keliru kereta terbang atau dron

Putrajaya akan mengadakan sesi pandu uji kereta terbang pertama negara esok.

KUALA LUMPUR: Projek kereta terbang menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini apabila ahli Parlimen pembangkang mendesak Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof menjelaskan jika ia sejenis dron seperti yang dinyatakan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook semalam.

“Saya masih ternanti-nanti kereta terbang esok yang akan terbang ataupun dron. Saya menasihati menteri pakai paracut kerana dibimbangi ada apa-apa akan berlaku,” kata Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu langkah kerajaan membantu usahawan dalam projek itu pada sesi soal jawab lisan.

Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangkit mencelah dengan berkata, kereta terbang yang akan dilancarkan esok ialah dron yang dibawa dari China.

“Dronlah, menteri pengangkutan kata dronlah,” kata Tajuddin.

Shamsul kemudiannya meminta Dewan Rakyat mengadakan sesi khas untuk Redzuan menerangkan sama ada ia adalah dron atau kereta terbang.

“Tidak payah dalam dewan ini. Malu orang dengar dekat luar,” katanya.

Redzuan bagaimanapun bertegas mahu menjelaskan projek itu dengan menyentuh Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang dilancarkan pada 11 Julai lalu.

“Yang pentingnya kita baca Dasar Keusahawanan Nasional. Antara teras strategik kita adalah membangunkan industri penerbangan, aeroangkasa dan mobiliti udara.

“Terpulang apa saja yang kamu mahu panggilnya…dron ke kereta terbang ke ‘aerocar’, semua itu mengenai mobiliti udara.”

Shamsul berkata, isunya ialah kenyataan menteri tidak konsisten mengenai projek kereta terbang.

“Isunya, YB menteri sekejap kata ini, sekejap kata itu…itu isunya. Lagi banyak YB cakap, lagi satu Malaysia gelak. Tidak payah cakap, kerja menteri pengangkutan YB buat. Bercakap soal usahawan lagi baguslah YB, dunia boleh tahulah.”

Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) kemudiannya berkata, pihaknya menyokong usaha Redzuan, tetapi rakyat keliru apabila Loke mendakwa kereta terbang itu ialah sejenis dron.

“Saya tahu menteri ini (Redzuan) betul, tapi tolong betulkan menteri pengangkutan,” katanya sambil dicelah Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mempersoalkan jika DAP cuba mensabotaj Redzuan.

Redzuan berkata, beliau sedia mengadakan kelas khas kepada wakil rakyat yang keliru dengan isu kereta terbang.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof meminta semua ahli Parlimen menghadiri sesi uji pandu dron esok bagi mendapatkan gambaran sebenar.

“Ini sesi soal jawab, tidak apalah, menteri dah jemput semua pergi untuk melihat dron ke apa (kereta terbang), esok pergilah.”

Isnin lalu, Redzuan mengundang semua wakil rakyat menghadiri sesi pandu uji kereta terbang pertama negara esok.

Semalam, Loke dilaporkan berkata, kereta terbang pertama Malaysia perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana ia sejenis dron.