New York saman pembuat vape selepas kematian remaja 17 tahun

Kesan pengiklanan agresif Juul Labs Inc menyebabkan anak muda percaya vape adalah selamat.

NEW YORK: Pihak berkuasa New York memfailkan saman terhadap pembuat rokok elektronik, Juul Labs Inc semalam kerana mengelirukan generasi muda mengenai vape, lapor agensi berita Xinhua.

Berdasarkan saman yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan, Juul didakwa menggunakan taktik pemasaran mengelirukan di platform media sosial bagi menarik minat generasi muda tanpa mendedahkan sepenuhnya bahaya produk itu yang mengandungi nikotin.

“Tidak syak pengiklanan agresif Juul memberi sumbangan besar terhadap krisis kesihatan awam kerana menyebabkan ramai belia di New York dan seluruh negara ketagih dengan produk itu.

“Kesan daripada semua pengiklanan mereka, sejumlah besar golongan muda merasakan rokok elektronik adalah selamat,” kata Peguam Negara New York, Letitia James dalam sidang akhbar.

Juul yang berpangkalan di California adalah jenama rokok elektronik terbesar Amerika Syarikat dengan menguasai 64% pasaran di negara itu.

Menurut statistik terbaru Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS, 42 kematian dan lebih 2,000 kecederaan dicatatkan akibat penggunaan rokok elektronik.

New York menjadi negeri kedua menyaman Juul dalam minggu ini.

Peguam negara berkata, kematian seorang remaja lelaki 17 tahun di Bronx, New York pada Oktober lalu akibat menghisap vape mendorong pihak berkuasa memfailkan saman berkenaan.

Juul menggantung penjualan cecair perisa bukan tembakau dan tanpa “menthol” di beberapa negeri AS, termasuk New York pada bulan lalu.