Polis guna poligraf uji 7 saksi utama kes kematian Adib

Koroner pada 27 Sept lalu memutuskan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akibat perbuatan jenayah 2 atau lebih individu tidak dikenali.

KUALA LUMPUR: Polis akan menggunakan alat pengesan pembohongan atau ujian poligraf terhadap 7 saksi utama yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, 7 individu itu ialah saksi yang berada di sekitar lokasi rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

“Sebanyak 28 daripada 30 saksi kita rakam percakapan sebelum ini, manakala 2 doktor pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur telah tampil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapannya hari ini.

“Daripada 28 saksi yang sudah memberi keterangan, 7 orang kita boleh katakan adalah saksi utama, di mana mereka berada di tempat kejadian semasa kemalangan (kejadian) tersebut.

“Daripada 7 orang itu, beberapa saksi kita akan panggil semula dan kita akan gunakan mesin poligraf untuk memastikan keterangan mereka itu adalah benar atau tidak,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata, polis akan mengambil keterangan 2 saksi inkues itu, iaitu pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amir Radzi Ab Ghani dan perunding kanan patologi forensik United Kingdom, Dr Shahrom Abd Wahid, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya turut menganalisa 2 rakaman video yang dijadikan bukti kes ketika inkues menentukan punca kematian Adib berlangsung.

Pada 27 Sept lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Adib akibat perbuatan jenayah 2 atau lebih individu tidak dikenali.

Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariammam.

Tiga puluh saksi, termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bukti dikemukakan sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu.