Ringgit susut akibat ketidaktentuan perjanjian perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan pemangkin terhadap unit tempatan dalam persekitaran ketidaktentuan mengenai perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata peniaga.

Pada 9 pagi tadi, ringgit berada pada 4.1590/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1590 semasa ditutup semalam.

Ahli Strategi Pasaran Axi Trader Asia Pasifik, Stephen Innes berkata, ringgit akan diniagakan dengan kecenderungan rendah menjejaki yuan China berhubung ketidaktentuan perjanjian perdagangan dan rang undang-undang (RUU) Hong Kong yang diluluskan Senat AS.

“Sentimen yuan China mencatatkan satu lagi keadaan tidak memberangsangkan dan RUU yang diluluskan itu mungkin memberi lebih banyak masalah berikutan Presiden AS, Donald Trump dijangka mengikut kehendak parti dan menandatangani RUU itu menjadi undang-undang, yang akan mencetuskan tindakan balas dari Beijing.

“Peniaga tidak suka (perkara) yang kabur dan diunjurkan mengurangkan risiko yuan China,” katanya dalam nota.

Senat AS sebulat suara meluluskan undang-undang untuk melindungi hak asasi manusia di Hong Kong dengan bantahan pro-demokrasi.

Dalam negara, Innes berkata, wujud kemelut politik selepas kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

“Malah, ini sepatutnya menjadi ingatan kepada pemimpin kerajaan,” katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura daripada 3.0534/0567 kepada 3.0549/0583 pada Selasa, rendah berbanding yen daripada 3.8202/8240 kepada 3.8304/8342 dan turun berbanding euro daripada 4.5990/5040 kepada 4.6078/6115.

Bagaimanapun, unit tempatan naik berbanding pound British daripada 5.3829/3884 kepada 5.3734/3777 sebelum ini.