Sidang Dewan Rakyat tertangguh lagi akibat tak cukup kuorum

Isu tidak cukup kuorum di Dewan Rakyat bukan pertama kali berlaku memandangkan perkara sama terjadi sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan lebih dua minit kerana tidak cukup kuorum.

Ketika sesi sidang yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi, dihentikan apabila Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) bangun menggunakan peraturan mesyuarat membangkitkan mengenai mesyuarat tidak cukup kuorum kerana hanya 24 wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang berada di dalam dewan.

Jumlah minimum membolehkan dewan dimulakan ialah 26 orang.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof kemudian mengarahkan loceng dibunyikan kali kedua selama satu minit.

“Kira semula, kena ada 26, hanya 24 orang, sila bunyi loceng,” katanya.

Selepas beberapa minit dewan ditangguhkan, speaker kemudian meneruskan persidangan selepas kiraan semula dibuat mendapati jumlah wakil rakyat hadir 28 dan persidangan diteruskan.

Sidang bermula dengan pertanyaan Hassan Bahrom (Amanah-Tampin) yang meminta menteri pelancongan seni dan kebudayaan menyatakan apakah usaha kementerian dalam mempromosikan budaya masyarakat Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai fokus di peringkat antarabangsa.

Sidang Parlimen kali ini, merupakan mesyuarat ketiga penggal kedua di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Isu tidak cukup kuorum di Dewan Rakyat bukan pertama kali berlaku memandangkan perkara sama terjadi sebelum ini.

Julai lalu speaker pernah menanguhkan dewan selama 10 minit kerana tidak cukup kuorum. Perkara yang sama muncul bulan lalu.

Bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli Parlimen PH yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sudah diberi amaran.

“Kita sudah bincang dengan mendalam dalam Kabinet. Kita dapati menteri kadang-kadang berada di luar negera kerana terlalu banyak mesyuarat peringkat antarabangsa.

“Ahli-ahli Parlimen biasa juga kadang-kadang ada masalah lain. Kadang-kadang mereka ada di dalam bangunan ini (Parlimen), tetapi tidak ada di dalam Dewan Rakyat.

“Jadi, mereka boleh dipanggil dengan menggoncangkan loceng. Kita juga bagi amaran kepada mereka supaya menentukan mereka hadir,” kata beliau.