Zahid arah keluarkan RM17.9 juta dari akaun Yayasan Akal Budi, kata saksi

Pengasas Yayasan Akal Budi, Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai operasi sebuah bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pengasas Yayasan Akal Budi mengarahnya mengeluarkan RM17,953,185.21 daripada akaun simpanan tetap yayasan itu untuk membayar pemegang amanahnya, Messrs Lewis & Co.

Narimah Miswadi, 47, yang bekerja di Affin Bank cawangan Jalan Bunus di sini, berkata bekas timbalan perdana menteri itu juga mengarahnya menggunakan cek yang dikeluarkan bank (cek jurubank) bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co.

“Semasa perjumpaan dengan Zahid pada 16 Jun 2016 di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, beliau juga ada memberitahu saya tujuan pengeluaran wang ini untuk membina sebuah bangunan Yayasan Akal Budi di Bagan Datuk, Perak.

“Sejurus perjumpaan tersebut, beliau mengarahkan pembantu peribadinya, Mejar Mazlina menyediakan satu surat kepada pihak bank bagi tujuan membuat pengeluaran ke atas akaun melalui ‘banker’s cheque’ atas nama Messrs Lewis & Co pada 23 Jun 2016.”

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari ketiga kes Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Narimah berkata, beliau memohon kelulusan ibu pejabat Affin Bank untuk yayasan itu menggunakan cek yang dikeluarkan pihak bank bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co.

“Pada 23 Jun 2016, saya telah menyerahkan surat yayasan tersebut kepada Juruwang Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Royasmin Mohd Roddy untuk menyediakan Borang Permohonan Kiriman Wang bagi menyempurnakan arahan Zahid.

“Selepas Royasmin menyediakan Borang Kiriman Wang dan ‘banker’s cheque’, beliau (Royasmin) menyerahkan borang itu dan ‘banker’s cheque’ tersebut kepada saya untuk disemak.”

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Ahmad Zaidi Zainal sama ada Zahid ada memberitahu saksi itu untuk membina sebuah bangunan di Bagan Datuk, Narimah menjawab: “Ya”.

Zaidi: Sebenarnya untuk membina tahfiz dan masjid di Bagan Datuk?

Narimah: Tak ingat, seingat saya Bangunan Akal Budi di Bagan Datuk.

Narimah berkata, beliau teruja dan gugup ketika pertama kali menemui Zahid.

Zaidi: Tak rasa nak tanya kenapa bayaran itu dibuat kepada Messrs Lewis & Co dan bukannya pemaju?

Narimah: Pada masa itu, Zahid adalah timbalan perdana menteri. Saya tak boleh menolak arahan itu.

Saksi itu juga berkata, beliau tidak pasti Messrs Lewis & Co adalah pemegang amanah yayasan itu.

Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya dakwaan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.