Cukai taksiran tidak naik selepas Kuantan jadi bandar raya, kata exco

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang Abd Rahim Muda berkata, kerajaan negeri akan memastikan tiada golongan yang terpinggir apabila Kuantan menjadi sebuah bandar raya.

KUANTAN: Tiada kenaikan cukai taksiran setelah Kuantan dinaik taraf menjadi bandar raya, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang Abd Rahim Muda.

Beliau berkata, kenaikan taraf bukan indikator penentu kadar nilaian cukai itu, sebaliknya taraf baru bandar raya akan membuka peluang kepada pelaksanaan penstrukturan semula kadar cukai taksiran yang bersifat ‘mesra rakyat’.

“Sedikit-sebanyak ada kenaikan yang perlu ditampung oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), namun ia tidak akan memberi kesan kepada rakyat. Tiada kenaikan cukai baru yang akan dikenakan kepada rakyat.

“Sebaliknya, mereka akan menikmati lebih banyak kebaikan dari segi perkhidmatan, sebagai contoh dalam bidang kebersihan dan infrastruktur yang akan memberi keselesaan serta merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Andansura Rabu (PAS-Beserah) yang ingin tahu faedah langsung kenaikan taraf bandar raya Kuantan kepada rakyat.

Andansura Rabu.

Menurut Abd Rahim, antara lain status bandar raya juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Andansura menerusi soalan tambahan menyuarakan kebimbangan kepada kelompok seperti nelayan dan petani yang berkemungkinan terpinggir selepas penarafan bandar raya kerana secara keseluruhannya daerah Kuantan masih dikelilingi oleh kampung tradisi.

Sehubungan itu, Abd Rahim memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat permasalahan rakyat, termasuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji impak status bandar raya dari segala aspek.

“Kajian ini meliputi aspek sosial seperti permasalahan yang mungkin timbul, termasuk jika ada golongan yang terpinggir diberi perhatian penuh oleh kerajaan negeri,” katanya.