Dewan Perwakilan AS lulus 2 RUU sokong penunjuk perasaan Hong Kong

Tunjuk perasaan di Hong Kong bermula awal Jun lalu terhadap langkah Ketua Eksekutifnya, Carrie Lam membenarkan ekstradisi ke China. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan 2 rang undang-undang (RUU) menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong yang akan mengenakan sekatan terhadap pihak bertanggungjawab melakukan pencabulan ke atas hak asasi manusia, diluluskan dengan undian 417-1.

Di bawah akta itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo perlu mengesahkan Hong Kong mengekalkan autonomi mencukupi bagi melayakkan pertimbangan perdagangan khas yang menaikkan statusnya sebagai sebuah pusat kewangan dunia setiap tahun.

Dewan itu turut sebulat suara menyokong larangan eksport komersial bagi senjata api kepada polis Hong Kong.

Senat turut meluluskan secara sebulat suara kedua-dua RUU pada Selasa, yang kini dalam perjalanan ke meja Presiden AS, Donald Trump untuk kelulusan.

Beijing mengutuk tindakan meluluskan Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong, lapor agensi berita Xinhua.

Langkah itu “adalah campur tangan kasar dalam hal ehwal dalaman China”, lapor Xinhua memetik kenyataan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC).

RUU itu dibuat selepas Hong Kong, sebuah wilayah autonomi di bawah China sejak 1997, menyaksikan tunjuk perasaan bermula awal Jun lalu terhadap langkah Ketua Eksekutifnya, Carrie Lam menghalalkan ekstradisi ke China.

Kerajaan Hong Kong kemudian membatalkan RUU itu, namun tunjuk perasaan berterusan dengan desakan yang mendakwa polis melakukan keganasan.