Dr M tolak gesaan PAS pecat Guan Eng

Dr Mahathir Mohamad menghadiri pra-pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan PAS untuk memecat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terlebih dahulu jika beliau mahu merombak Kabinet.

Perdana menteri berkata, sebarang keputusan untuk merombak Kabinet bergantung kepada persetujuan semua parti komponen dalam Pakatan Harapan.

“Rakyat boleh suarakan pendapat mereka, tetapi saya akan tentukan jika ia dipersetuju 5 parti komponen yang membentuk gabungan itu,” katanya selepas merasmikan pra-pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan tidak menolak kemungkinan merombak Kabinet susulan cadangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM yang membincangkan kekalahan memalukan PH dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Katanya, rombakan itu mungkin dibuat sebelum Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 yang akan dianjurkan Malaysia tahun depan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan Lim menjadi menteri pertama dipecat jika Kabinet dirombak kerana ramai yang mahu beliau ditukarkan.

Mengenai mesyuarat dengan Anwar Ibrahim hari ini, Mahathir berkata, presiden PKR itu bersetuju penetapan tarikh khusus untuk peralihan kuasa perlu dielakkan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan.

Berdasarkan persetujuan antara pimpinan PH selepas gabungan itu mengambil alih Putrajaya tahun lalu, Anwar akan menggantikan Mahathir, tetapi tiada tarikh khusus ditetapkan.

Awal bulan ini, Mahathir berjanji akan melepaskan jawatan perdana menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.