Kalau salah pun, kenapa guna Sosma, soal isteri tahanan LTTE

Ahli keluarga 12 tahanan Sosma hadir ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut.

KUALA LUMPUR: Lebih 80 orang ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berhimpun di luar pintu masuk Parlimen hari ini untuk menyerahkan memorandum mendesak kerajaan memansuhkan akta berkenaan yang disifatkan sebagai “keras” dan menindas hak asasi manusia.

Mereka adalah ahli keluarga kepada 12 tahanan Sosma yang ditahan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Antara yang ditahan, termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP.

Isteri Adun Gadek, Umah Devi Veeraputhran kesal dengan penggunaan akta tersebut kerana ia bertentangan dengan idea reformasi dan manifesto yang dijanjikan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH).

“Akta drakonian seperti Sosma menindas hak asasi manusia, tidak patut diasimilasikan di negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Walaupun mereka bersalah, kenapa perlu guna Sosma? (Mereka) tak dapat lagi jamin. Satu kes akan dijalankan tanpa dibicara (selama) 28 hari tahanan, tapi sekarang dah 42 hari,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong di lobi Parlimen, hari ini.

Tambahnya, sejak suaminya dan tahanan lain ditahan pihak polis, rata-rata mereka mengalami masalah kewangan kerana kehilangan punca pendapatan keluarga.

“Saya suri rumah dengan ibu bapa yang sudah tua.

“Kita perlukan ketua rumah pulang secepat mungkin, 42 hari tanpa ketua keluarga terlalu menekan,” katanya.

Seramai 12 individu termasuk dua Adun DAP didakwa atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE di tiga Mahkamah Sesyen berasingan pada 31 Okt lepas.

Kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat mengikut Sosma yang tidak membenarkan ikat jamin diberikan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang turut berjumpa kumpulan itu berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet esok supaya tindakan segera dapat diambil.

“Saya telah pun berkali-kali bawa perkara ini dan dimaklumkan bahawa tindakan akan diambil.

“Tetapi ini adalah sesuatu (yang) harus diumumkan oleh menteri yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tuntutan memorandum itu, Liew berkata, suka atau tidak, negara masih perlukan satu akta yang mampu melindungi keselamatan negara.

“Kami sedang mengkaji semula peruntukan penangkapan, selain tempoh 28 hari yang digunakan pada masa ini.

“Kami akan kaji semula hal itu dan juga peruntukan memberi akses kepada tahanan untuk berjumpa peguam,” katanya.

Pada 5 Nov, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan meninda Sosma secepat mungkin bagi mengelakkan salah guna kuasa akta tersebut.