Kerajaan Sabah akan terus tuntut hak rakyat di bawah Perjanjian Malaysia 1963, kata Shafie

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan berunding dengan Putrajaya berhubung hak hasil negeri 40%.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri akan mengambil perhatian serius terhadap semua isu yang ditimbulkan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau juga berkata kerajaan berterima kasih kepada semua anggota DUN Sabah atas pandangan dan sokongan yang ditunjukkan untuk senada dengan kerajaan negeri menuntut hak rakyat negeri ini sebagaimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan amanahnya untuk terus menuntut perkara yang dibangkitkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan DUN di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat beberapa cadangan untuk membawa tindakan di bawah undang-undang sekiranya kerajaan persekutuan gagal membayar hasil 40% seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Di bawah Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan jika dalam apa-apa kajian semula kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak dapat mencapai persetujuan atas apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada penaksir bebas dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kerajaan yang berkenaan itu dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor itu ialah persetujuan antara kerajaan itu.

“Perintah ulang kaji pertama dibuat pada tahun 1970 iaitu Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulang Kaji Pertama) 1970 bagi tempoh lima tahun bagi tahun 1969, 1970, 1971, 1972 dan 1973 masing-masing ialah RM20 juta, RM21.5 juta, RM23.1 juta, RM24.8 juta dan RM26.7 juta,” katanya.

Beliau berkata, berhubung saranan tindakan di bawah undang-undang, peruntukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan itu adalah jelas pada maksudnya dan hendaklah dihormati.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan secara perundingan dan bukan secara konfrontasi,” katanya.